suria

Anak cantik pakai tradisional ala Tokti kalah kepada dress kepuk-kepuk, bapa pertikai ‘ilmu’ juri – “Kita dah merdeka, minda masih dijajah”

Seorang bapa tidak puas hati dengan penilaian juri pertandingan pakaian beragam sempena hari kemerdekaan di sekolah anaknya.

SETIAP kali negara menyambut ulang tahun kemerdekaan, pasti banyak sekolah menganjurkan pertandingan beragam untuk murid atau pelajarnya.

Pakaian tema patriotik, tradisional atau busana jalur gemilang biasanya menjadi pilihan ibu bapa untuk diperagakan oleh anak-anak mereka.

Sememangnya adat pertandingan, ada yang menang dan sudah tentu juga ada yang kalah.

Anak memperagakan pakaian tradisional di pentas.

Namun, seorang bapa tunggal meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penilaian dan kriteria juri selepas anak perempuannya tidak menjuarai pertandingan yang dianjurkan sempena kemerdekaan itu.

“Bangga dengan buatan tangan sendiri. Kalah menang adat pertandingan. Kami hanya menitikkan kekemasan tanpa mencemar Jalur Gemilang. Juri dapat mana tu?” katanya.

Pertandingan ini dipercayai dianjurkan oleh sebuah sekolah rendah di Kota Tinggi, Johor.

ARTIKEL BERKAITAN: Imej juruterbang jet pejuang jadi pilihan juri! Ibu terkejut anak juara, kalah pun OK yang penting ada semangat patriotik

Si bapa kemudian menegaskan bahawa dia sebenarnya bukan mahu mempersoalkan kemenangan yang berpihak kepada murid-murid lain.

“Aku bukan nak mempersoalkan keputusan nombor satu, dua dan tiga... tidak. Apa yang aku nak persoalkan adalah pemilihan pakaian dan penilaian juri,” ujarnya.

Menurut si bapa, busana dipakai anaknya berkonsepkan pakaian trasional Puteri Perak.

Jelasnya, juri seharusnya memilih pemenang dalam kalangan peserta yang menampilkan pakaian dengan bercirikan nilai-nilai kemerdekaan.

“Aku tak faham, baju dress, baju kepuk-kepuk yang menang. Apa nilainya, kelebihannya pada baju dress tu untuk kemerdekaan kita kan?

“Atau korang suka sebab kena jajah? Sepatutnya masa inilah kita tonjolkan kepada anak-anak atau generasi akan datang mengenai kita punyai pakaian tradisi dan beruniform.

“Kita dah merdeka, tapi minda kita masih dijajah. Banyak pertandingan ni kat Malaysia, peserta pakai baju dress dan menang, pakai baju tradisi nombor belakang-belakang,” katanya.

Mengenai busana anak perempuannya, menurutnya, ia berkonsepkan pakaian Puteri Perak dan tradisi negeri itu sendiri yang terdiri daripada baju, seluar panjang, samping dan selendang.

Paling penting, katanya, pakaian Puteri Perak itu diperbuat dengan sulaman atau songket benang emas yang masih mengikut tema warna Jalur Gemilang.

“Baju ni juga terhasil atas cetusan idea anak saya selepas melihat pemakaian Datuk Seri Siti Nurhaliza dan juga beberapa kajian terperinci pakaian Puteri Perak menerusi carian di Google. Less is more je kami buat,” katanya.

Selain menata rias, dia turut menyolek wajah anaknya.

Dia turut terkilan apabila juri tidak dapat menilai busana-busana tradisional yang jauh lebih hebat berbanding pakaian moden dan gaun.

“Bayangkan juri-juri tak dapat nilaikan pakaian tersebut, apatah lagi anak kita. Baju dress tu bukan pakaian tradisi kita, tapi itulah yang juri pilih.

Juri-juri tak dapat nilaikan pakaian tersebut, apatah lagi anak kita. Baju dress tu bukan pakaian tradisi kita, tapi itulah yang juri pilih.

BAPA

“Kepada mak ayah yang mana anaknya bakal masuk pertandingan serupa macam ni, cubalah pakaikan anak kita dengan pakaian-pakaian tradisi kita sendiri.

“Kita cuba elakkan dress tu sebab pakaian tu bila-bila masa boleh pakai. Masa sambutan kemerdekaan inilah, kita nak tunjukkan kepada mereka pakaian tradisi kita,” jelasnya lagi.

Persediaan rapi untuk pertandingan beragam di sekolah.

Dia turut memberitahu, penyertaan anaknya dalam pertandingan pakaian beragam bukan untuk kemenangan semata-mata, tapi mahu menyokong program anjuran pihak sekolah.

“Kita nak sokong program sekolah. Menang bonus, kalah tak ada masalah pun. Jangan salah faham, matlamat saya buat baju sendiri untuk cantikkan anak untuk content TikTok sempena merdeka.

“Sudah tentu kita boleh agak juri tak akan pilih anak saya sebab juri sekolah tak profesional dan kurang ilmu menjuri. Tapi kami dah terima jemputan untuk hadir majlis yang dijalankan oleh profesional.

“Menjadi perhatian adalah pelajar yang lebih patut menang (bukan anak saya) tapi tidak menang, itu je. Kami dah dapat 2.2 juta views (tontonan), awak dapat apa?” balasnya terhadap komen-komen yang mengatakan dirinya tidak boleh menerima kekalahan anaknya.

Menurutnya, penyertaan anaknya itu juga untuk 'content' di TikTok.

Setakat ini, salah satu video anaknya menyertai pertandingan beragam itu mencecah empat juta tontonan.

Pada masa sama, dia juga menyuarakan kekesalannya terhadap segelintir guru yang memperlekehkan pengorbanan ibu bapa yang bertungkus-lumus memastikan penyertaan yang terbaik buat anak-anak mereka.

“Cikgu kat sekolah tu kalau buat pertandingan, kau jangan cakap ini bukan nak cari siapa menang, siapa kalah. Kalau kau tak cari siapa menang, kalah, kau jangan cakap pertandingan.

“Mak ayah dah berhabis duit sokong program kau, lepas tu kau cakap macam tu. Tolonglah jaga hati sikit,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain