suria

Lesen kereta belum ada, remaja 16 tahun sebak berjaya kendali pesawat bawa mak ayah bersiar-siar! Sanggup kerja part time bayar yuran

Impian Anaqi sejak kecil untuk menerbangkan pesawat menjadi realiti pada usia 16 tahun.

BARU berusia 16 tahun namun remaja lelaki ini mampu menerbangkan sebuah pesawat sambil membawa ibu dan bapanya.

Menurut Mohamad Anaqi Mohamad Rizal, dia sendiri tidak menyangka cita-citanya untuk mengendalikan sebuah pesawat sejak usianya enam tahun kini menjadi realiti.

Ketika dihubungi mStar, Anaqi menceritakan semula pengalamannya membawa kedua-dua orang tuanya menaiki kapal terbang yang dipandu sendiri baru-baru ini yang mana videonya tular di TikTok.

“Saya rasa bangga sebab tak sangka boleh memiliki lesen kapal terbang sebelum lesen kereta. Memang satu kenangan yang tak boleh dilupakan apabila diberikan peluang untuk membawa ibu bapa naik flight.

“Waktu bawa mereka tu saya berasa sangat sebak sebab dah membanggakan ibu ayah dan dapat mencapai impian sejak kecil untuk membawa mereka sebagai penumpang pesawat saya.

“Walaupun saya hanya bawa mereka bersiar-siar lihat pemandangan di sekitar Adelaide, Australia, saya harap suatu hari nanti diberikan peluang untuk membawa mereka ke Makkah ataupun ke luar negara,” ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Juruterbang terlibat nahas dah 4 tahun menduda, bapa akan jaga tiga cucu - “Yang perempuan paling terkesan, bongsu belum faham”

ARTIKEL BERKAITAN: Hasrat naik pesawat dipandu anak tak kesampaian, ibu menangis dapat kejutan dalam penerbangan! Pilot, pramugari usaha sampai jadi

Menurut anak kelahiran Changi Simei, Singapura, ini, minatnya dalam dunia penerbangan bermula sewaktu bercuti bersama keluarga di Hong Kong.

“Semasa perjalanan di dalam pesawat Jetstar, A320 ke Hong Kong, saya berasa sangat kagum dengan penerbangan kami.

"Sejak hari itu, saya berasa sangat teruja apabila pesawat melalui ruang udara rumah saya. Cita-cita saya memang nak jadi seorang juruterbang komersial," katanya.

Semangatnya untuk menceburi bidang ini semakin berkobar-kobar apabila terjumpa iklan mengenai program oleh Aeroviation Singapura yang menawarkan kursus peringkat sijil dan latihan penerbangan rekreasi di Adelaide kepada pelajar-pelajarnya.

Ibu bapa Anaqi yang memahami minatnya bersetuju untuk mendaftarkan dirinya belajar di sekolah tersebut.

Anaqi bangga impian membawa ibu bapanya menaiki pesawat tercapai..

“Selepas saya habis peperiksaan nasional peringkat O (sama seperti SPM di Malaysia) pada 2022, saya terjumpa satu iklan sekolah penerbangan di Instagram. Jadi saya minta izin ibu bapa untuk mendaftar di sekolah itu dan mereka pula setuju.

“Untuk mendaftar, kita tak perlu background subjek tertentu atau pengalaman. Asalkan ada minat dan mampu bayar kos kursus, dah boleh belajar ‘terbang’. Semua peringkat usia pun boleh masuk sekolah penerbangan ini,” katanya.

Apabila berjaya memandu pesawat bersendirian pada usia muda, saya sangat seronok tetapi gementar.

ANAQI

Jelas Anaqi, terdapat dua fasa perlu ditempuhi untuk dia lulus menjadi seorang juruterbang dan melayakkan diri membuat penerbangan sendiri.

Tambahnya mengenai kursus diambil, ibu bapanya membayar sejumlah S$5,000 (RM17,126) bagi fasa pertama belajar secara teori di Singapura.

Bagi fasa kedua pula, ibu bapanya perlu menangggung kos pembelajaran berjumlah RM23,979 untuk pembelajaran secara praktikal di Adelaide.

“Saya terpaksa kerja waktu malam semasa ikuti kursus untuk bayar balik duit mak ayah yang dah bayarkan dulu yuran secara ansuran.

Anaqi berjaya membawa ibu dan bapanya menaiki pesawat setelah berjaya menamatkan pengajian.

“Walaupun penat mengorbankan masa dan tenaga, akhirnya saya dapat apa yang saya impikan.

“Apabila berjaya menerbangkan pesawat bersendirian pada usia muda, saya sangat seronok tapi gementar. Saya takut, apa-apa saja boleh terjadi tetapi Alhamdulillah semua penerbangan berjalan lancar setakat ini,” ujarnya.

Mengakhiri ceritanya, Anaqi berharap permohonan untuk menyambung kursus Diploma Pengurusan Penerbangan di politeknik yang ditunggu-tunggu akan diterima.

Dalam pada itu, dia berharap orang ramai dapat menitipkan doa buat dirinya agar sentiasa dilindungi dan dijauhkan daripada risiko bahaya sepanjang mengendalikan pesawat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain