suria

Hadiah perkahwinan terhebat sampai tak boleh move on! Pengantin tak sangka berdepan Agong, 800 tetamu pun dapat kejutan tak dirancang

Dakshayni dan suami bertuah berpeluang menghadap Agong. foto IG @nextchapter_my

SETIAP pengantin semestinya dilayan seperti raja sehari, dan momen indah ketika majlis perkahwinan akan tersemat selamanya dalam hati hingga akhir hayat.

Bagaimanapun, sepasang pengantin memperoleh 'kebahagiaan berganda' apabila tanpa disangka-sangka dapat bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pertemuan yang penuh bermakna itu berlaku di sebuah hotel, ketika pasangan itu sedang berjalan ke majlis resepsi yang berlangsung di sebuah 'grand ballroom'.

Berkongsi kenangan manis, pengantin perempuan, Dakshayni Kumareasan berkata, majlis resepsi perkahwinannya berlangsung di Hotel Shangri-La di Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu.

Dakshayni memberitahu, mereka dimaklumkan oleh jurugambar bahawa Yang di-Pertuan Agong secara kebetulan turut berada di hotel tersebut, sebelum mendapat perkenan menghadap baginda.

"Jika sebelum ini saya sering mendengar tentang raja berjiwa rakyat menerusi TV dan media, saya tidak menyangka dapat merasai pengalaman itu sendiri.

"Perasaan saya terlalu nervous seperti ada 'butterfly in the stomach'. Ini pertama kali saya berhadapan dengan baginda," katanya kepada mStar.

Pasangan pengantin terharu dengan keramahan Yang di-Pertuan Agong.

Dakshayni yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur berkata, konvoi melibatkan kira-kira 60 motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson yang mengiringi perjalanan mereka dari Ampang ke hotel turut menarik perhatian baginda.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakai face mask pun tak kalis gugup! Akak cashier kongsi debaran 10 minit berdepan Agong, 2 putera kacak - "Tengok depan-depan lagi handsome"

ARTIKEL BERKAITAN: Comelnya! Tunku Azizah singgah kedai tepi jalan tanya mi bandung, siap ada permintaan - “Janji tau, ambil nombor telefon dia”

"Konvoi Harley Davidson itu diaturkan oleh ayah dan bapa saudara untuk majlis perkahwinan kami,” katanya, sambil menambah bapa saudaranya yang lebih dikenali sebagai Datuk Anand, merupakan presiden Shadowfax MC, kelab yang aktif dengan aktiviti permotoran, termasuk motosikal Harley Davidson.

Konvoi motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson mengiringi pengantin ke majlis resepsi. foto IG @nextchapter_my

Mengenai perkahwinan yang berlangsung, katanya, dia dan suami, Sangharganesh Palanivelloo kedua-duanya merupakan jurutera dan telah berkenalan selama tujuh tahun.

Dakshayni bersama suami sempat bertemu dengan anak baginda iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang juga Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota dan Tengku Puteri Iman Afzan.

Satu peluang yang mungkin berlaku sekali seumur hidup. Sampai sekarang saya masih tak boleh move on.

DAKSHAYNI KUMAREASAN

Dalam pada itu, majlis yang dihadiri kira-kira 800 tetamu pada malam itu turut dikejutkan dengan paparan gambar pasangan pengantin bersama Yang di-Pertuan Agong menerusi skrin besar di dalam dewan.

Menurut Dakshayni, pertemuannya bersama Yang di-Pertuan Agong selama kira-kira 10 hingga 15 minit amat bermakna.

"Baginda seorang yang soft-spoken, sangat peramah dan begitu mengambil berat... baginda bertanya khabar dan tentang kami," katanya.

Dakshayni (kiri) dan suami di majlis resepsi di hotel Shang-ri La, Kuala Lumpur. foto foto IG @nextchapter_my

Bukan sahaja dapat bersalaman, malah katanya, baginda turut mengucapkan tahniah kerana menjadi pengantin baharu.

"Ramai tetamu tidak menyangka kami berpeluang bertemu dengan Agong, kami sendiri sampai sekarang masih tak percaya.

"Paling tak sangka dengan perkenan baginda untuk bertemu kami pada hari paling istimewa buat kami.

Dakshayni dan suami menyifatkan pertemuan bersama Agong sebagai peluang yang mungkin berlaku sekali seumur hidup. foto IG @nextchapter_my

"Jujurnya, saya dan suami sangat gembira dan bertuah. Momen bersama Agong menjadikan majlis perkahwinan kami begitu istimewa.

"Satu peluang yang mungkin berlaku sekali seumur hidup. Sampai sekarang saya masih tak boleh move on," kata Dakshayni yang begitu teruja.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain