suria

Murid lelaki buat ‘scene’ depan cikgu, menangis macam kena rotan... Rupanya pengetua bagi ayat ‘deep’ sebelum ambil SPM

Pelajar SMK Tebobon, Shahril Malan tidak dapat menahan sebak ketika majlis restu ilmu, baru-baru ini.

SELEPAS ibu bapa, guru merupakan insan yang tidak kurang pentingnya dalam kehidupan seseorang.

Selain berperanan mencurahkan ilmu dan mendidik anak bangsa, guru juga tidak ubah seperti ibu bapa yang tidak lekang memberi nasihat agar pelajar menjadi insan berguna.

Betapa bertuahnya pelajar apabila mendapat guru yang benar-benar menyayangi dan melayani mereka umpama anak sendiri.

Sebuah video tular memaparkan seorang pelajar yang tidak dapat menahan air mata ketika bersalaman dengan guru-gurunya sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), benar-benar menyentuh hati ramai.

"Apabila kasih sayang guru kepada anak murid melebihi kasih sayang kepada anak sendiri," demikian kapsyen yang ditulis mengiringi video berkenaan yang sehingga kini meraih lebih daripada 535,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru 22 tahun pengalaman gigih buat kelas tambahan SPM, siap belikan sarapan tapi apa yang berlaku memang tak diduga - “Ibu husnuzon... mungkin mereka ada hal”

ARTIKEL BERKAITAN: Akauntan perlekeh pelajar cari ilmu di universiti, siap label sijil sampah! Tapi puji budak-budak lepas SPM buat bisnes TikTok

Berkongsi cerita dengan mStar, guru bernama Junaidah Mohd Nordin yang merakam dan memuat naik video berkenaan berkata, ketika itu sekolah tempatnya mengajar iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tebobon di Kota Kinabalu, Sabah, menganjurkan majlis restu ilmu dan solat hajat untuk calon yang akan menduduki SPM.

"Majlis itu diadakan pada Jumaat baru-baru ini. Saya merakam momen-momen ketika calon SPM bersalaman dengan pengetua dan guru-guru untuk meminta restu.

"Sememangnya ramai pelajar tidak dapat menahan air mata mereka namun momen seorang pelajar lelaki ini yang menangis sehingga teresak-esak, menjadikan suasana ketika itu turut sedih.

SPM 1

Sekitar majlis restu ilmu SMK Tebobon.

"Pelajar lelaki berkenaan bernama Shahril Malan. Biasalah, budak lelaki mesti ada nakalnya sedikit. Sewaktu bersalaman dengan pengetua, cikgu Faridah Raimin, dia meminta maaf atas semua kenakalannya.

"Pengetua pula kata 'kamu dah macam anak saya sendiri, ambil peluang ini untuk ubah kehidupan'. Mungkin keinsafan ditiupkan dalam diri, teresak-esak dia menangis," cerita Junaidah.

Junaidah yang merupakan guru bagi subjek Matematik berkata, bukan hanya pengetua sahaja yang menangis, malah guru-guru lain termasuk dia sendiri turut sama mengalirkan air mata.

SPM 3

Solat hajat berjemaah untuk calon yang bakal menduduki SPM.

"Memang semua 'banjir' waktu itu. Guru ni walau macam mana sekalipun anak muridnya nakal, namun dia tetap menyayangi mereka seperti anak sendiri," ujarnya yang sudah 10 tahun bergelar seorang pendidik.

Junaidah berkata dia sama sekali tidak menyangka video tersebut mengundang perhatian ramai sehingga meraih lebih 500,000 jumlah tontonan.

Guru ni walau macam mana sekalipun anak muridnya nakal, namun dia tetap menyayangi mereka seperti anak sendiri.

JUNAIDAH MOHD NORDIN

GURU SMK TEBOBON

"Bila baca komen, rata-rata tersentuh tengok momen tersebut. Ada yang komen, dia pun mahukan guru yang sayang pelajar macam anak sendiri... ada juga yang komen beruntungnya pelajar-pelajar yang disayangi guru.

"Malah ada juga yang kata, dia tak pernah merasa situasi seperti dalam video tersebut.

SPM 2

Junaidah (kiri), bersama Pengetua SMK Tebobon, Faridah Raimin.

"Apa yang boleh saya katakan, buat mereka yang bergelar guru, support pelajar-pelajar kita. Mereka perlu sokongan... kita tak tahu background setiap daripada mereka.

"Kita ni macam ibu bapa, kena support walaupun prosesnya ambil masa lama. Layan mereka seperti kawan. Dengan itu, mereka lembut hati, senang nak bercerita, malah nak belajar pun senang hati.

"Bagi calon-calon SPM pula, semoga dapat menjawab dengan baik. Ingatlah kamu membawa bersama harapan sekolah, guru dan ibu bapa," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain