suria

Mulanya tak layan ‘lelaki sihat’ minta belanja di Pavilion, pemuda ini terus kejar selepas sedar sesuatu - “Dia nak nasi dan sayur je”

Pemuda ni belanja lelaki yang baru kehilangan kerja makan di medan selera.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Hanya mereka yang pernah berada dalam suatu situasi susah sahaja yang memahami keperitan sebenarnya.

Begitulah kisah yang dikongsi Abdul Haris Harahap, 32, apabila seorang lelaki lingkungan usia 30-an datang menghampirinya di medan selera meminta untuk dibelikan makanan.

Haris berkata pada mulanya dia menolak permintaan lelaki itu kerana fizikalnya nampak sempurna dan sihat, lantas terlintas di hati dia memilih jalan mudah untuk mengemis wang.

"Waktu tu saya tengah bersiar-siar dekat Pavilion Kuala Lumpur dengan anak dan isteri, lepas tu kami singgah food court nak makan.

"Kami sekeluarga makan dekat restoran masakan ala Jepun, tengah saya beratur nak bayar tiba-tiba ada satu lelaki ni datang minta belanja makan.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sekeluarga kebulur tepi highway, treler rosak pukul 3 pagi... Isteri minta bantuan di TikTok, tak sangka netizen hantar nasi kenduri!

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hajat nak jejak air terjun, tiba-tiba sesat jumpa kuil Hindu dalam hutan! Tapi wanita ini tak gelabah, siap diajak lunch nasi campur dulu

"Dia cakap baru lepas kena buang kerja. Saya ingat dia minta duit, saya cakap tak boleh sebab tengok badan dia sihat je.

"Saya sebelum ni dah pernah kena scam dengan orang yang macam ni, minta duit kata nak beli makanan tapi lain yang dibelinya," cerita Haris ketika dihubungi mStar.

Tidak lama kemudian Haris bertukar fikiran dan akhirnya bermurah hati membelikan lelaki tersebut makanan.

Dia sekarang pun tak ada rumah sebab nak bayar sewa tak lepas, dipaksa keluar selepas dua bulan. Dalam bank ada RM10 je.

ABDUL HARIS HARAHAP

"Tapi lepas dia beredar, saya macam terfikir balik, dia bukan minta duit tapi dia minta belanja makan. Ini mesti sebab dia lapar ni

"Lepas tu saya terus pergi kejar dia balik... cari dia. Saya nampak dia tengah lelapkan mata dekat meja food court Pavilion tu, dia jadikan tangan dia sebagai bantal dan kepala dia terlentok atas meja.

"Saya rasa dia tengah cuba tidur untuk hilangkan kejap rasa lapar dia tu, kesian pula tengok. Saya terus pergi kejut dia, saya tanya dia nak makan apa jom saya belanja.

"Dia cakap dia tak kisah, saya kata dekat dia pilih je kedai mana nak makan. Akhirnya dia pergi ke gerai nasi kandar," kata Haris yang bergiat aktif dalam aktiviti kemanusiaan bersama badan bukan kerajaan (NGO).

Haris melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan NGO.

Haris seterusnya menceritakan musibah yang menimpa lelaki itu sehingga menyebabkan dia terdesak untuk meraih simpati orang awam untuk makan.

"Dekat kedai nasi kandar tu dia mula-mula nak ambil nasi dengan sayur je. Saya kata ambil ayam sekali, kita kalau nak makan kena betul-betul makan.

"Kemudian saya tanya dia apa yang jadi sebenarnya, dia pun buka la cerita. Dia cakap kena buang kerja sebab terlibat dalam politik pejabat, ada salah faham dengan dia punya boss, gaji pun kena hold.

"Dia sekarang pun tak ada rumah sebab nak bayar sewa tak lepas, dipaksa keluar selepas dua bulan. Dalam bank ada RM10 je.

"Sehelai sepinggang je sekarang, kalau malam tidur dekat bus stop atau mana-mana tempat yang boleh berteduh. Saya nampak dia ada bawa satu beg plastik, mungkin itu je la benda yang dia ada sekarang," kata Haris.

Haris menghulurkan sedikit bantuan kepada orang yang kurang berkemampuan.

Menurut Haris, lelaki itu memberitahunya dia terlintas untuk membuat pinjaman wang tidak berlesen kerana keadaannya yang seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Dia ada cakap nak pinjam ah long tapi saya nasihat jangan sebab bahaya sangat. Dia cakap memang tak ada apa dah sekarang, dia datang Pavilion pun sebenarnya nak cari kerja.

"Tapi banyak tempat yang tak terima dia sebab dia tak ada phone. Bila tak ada phone, nak berkomunikasi pun susah, itu yang majikan macam berat nak ambil dia. Hidup dia memang terhimpit.

"Lepas dia makan dengan saya, saya ada hulur dia duit sikit untuk bantu dia survive malam tu. Saya ada bagi dia kata-kata semangat supaya dia kuat, luluh hati tengok dia," ujar Haris.

Haris beranggapan lelaki itu hidup sebatang kara kerana sepanjang perbualan dia tidak ada menyebut tentang anak, isteri atau keluarga.

"Rasanya dia memang hidup seorang je. Dia tak ada sebut yang dia ada tempat untuk bergantung harap, anak-anak semua tak ada dia sebut

"Saya harap hidup dia baik-baik sahaja la lepas ni. Kita kena ingat kalau kita rasa hidup ni dah kurang bernasib baik, sebenarnya lebih ramai yang lagi susah dari kita ," kata Haris mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain