suria

[V] Hajat nak jejak air terjun, tiba-tiba sesat jumpa kuil Hindu dalam hutan! Tapi wanita ini tak gelabah, siap diajak lunch nasi campur dulu

Wanita ini mendapat kawan baharu di sebuah kuil ketika hendak mandi di Air Terjun Buntong.

JAUH perjalanan, luas pemandangan.

Kelainan melakukan rutin harian membolehkan seseorang itu untuk mencari ketenangan jiwa.

Begitulah pengalaman yang diburu oleh Sandra Hanayu, seorang gadis berkerjaya di ibu kota yang mahu melihat keindahan dan kehijauan alam.

Namun begitu, lain ceritanya apabila Sandra tersesat ketika sedang meredah hutan untuk mencari air terjun yang tersembunyi di Buntong, Ipoh, Perak.

Dalam satu video tular di TikTok, dapat dilihat Sandra bukannya tiba di air terjun tetapi sebaliknya menemui tempat sembahyang penganut agama Hindu.

"Ramai yang tengok video tu salah faham, mereka sangka saya ditahan di kuil tu. Seolah-olah saya duduk di situ bukan di atas kerelaan saya.

"Tetapi itu tak betul, saya yang terima pelawaan mereka untuk rehat di situ.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Mak kawan India ajak datang rumah makan kari kambing, memang padu! Alih-alih netizen tanya, daging beli di mana?

ARTIKEL BERKAITAN: Dua wanita abadikan makanan dalam potret ‘The Rojak Projek’

"Sebelum tu mereka ajak saya makan tengah hari sekali tapi minta tunggu sekejap sebab mereka nak sembahyang," ujar Sandra ketika dihubungi mStar.

Sandra memaklumkan dia sangat bersyukur kerana ditemukan dengan kumpulan itu di kuil tersebut kerana ketika kejadian dia sebenarnya sedang kelaparan dan dahaga.

"Cerita dia macam ni, saya ni seorang solo traveller. Waktu New Year hari tu saya ingat nak pergi Ipoh, Perak untuk makan angin.

Nasib baik la ada keluarga tu, jalan nak turun tu memang curam... saya sampai terjatuh beberapa meter.

SANDRA HANAYU

"Memang tak ada any proper planning. Apabila sampai sana baru tengok media sosial tempat apa yang menarik ada dekat Ipoh ni.

"Air Terjun Buntong tu saya jumpa dekat TikTok. Nampak macam best tapi kena jungle trekking sikit," cerita Sandra yang bekerja dalam bidang pemasaran.

Menurut Sandra, terdapat tiga lokasi berkelah di Air Terjun Buntong yang menjadi kewajipan untuk setiap pengunjung.

Sandra tiba di Air Terjun Buntong tanpa mengetahui sebarang selok-belok laluan di situ dan berpandukan sepenuhnya kepada aplikasi penunjuk arah Waze untuk membawanya ke tempat yang ingin dituju.

Sandra tersesat ke sebuah kuil berhampiran Air Terjun Buntong.

"Saya pergi ke Air Terjun Buntong tu tanpa peneman. Dua checkpoint pertama saya pergi tak ada masalah, saya guna Waze dan memang terus jumpa.

"Tapi checkpoint ketiga saya rasa macam jauh betul nak sampai. Lepas tu kena mendaki tinggi juga bukit tu. Waktu tu saya tak bawa air minuman sebab tak expect sejauh itu.

"Tahu-tahu je dah sampai depan kuil. Keluarga berbangsa India yang ada dekat situ beritahu saya dah terlajak ke depan, checkpoint ketiga ada dekat belakang sana," ujar Sandra.

Pada Sandra, situasi itu adalah aturan takdir yang cantik kerana dia boleh berehat sebentar sambil berbual bersama kawan baharu di kuil tersebut.

"Bateri phone saya waktu tu pun dah nak habis. Kalau saya turun balik cari jalan sendiri dan phone saya mati, lagi sesat saya.

Sandra dijamu makan tengah hari ketika berada di kuil.

"Mereka sangat welcoming. Mereka sembahyang dalam 15 minit macam itu, lepas tu kami makan tengah hari nasi campur sama-sama.

"Memang energizing rasa dapat minum air dan makan. Saya memang tak makan apa-apa daripada pagi sebelum datang ke Air Terjun Buntong. Silap saya juga.

"Sepanjang saya makan tu mereka memang peramah. Kami banyak berbual. Mereka cerita dekat saya macam mana kuil tu dibina sendiri untuk kegunaan awam, untuk mereka yang menganut agama Hindu," kongsi Sandra.

Selesai makan, keluarga di kuil itu membawa Sandra ke destinasi air terjun yang ingin ditujunya.

"Nasib baik la ada keluarga tu, jalan nak turun tu memang curam. Saya sampai terjatuh beberapa meter waktu nak turun tu.

Jalan tanah ke kuil yang curam dan licin.

"Kalau saya turun seorang tak tahu la apa jadi. Sebaik ada mereka boleh tolong saya navigate jalan nak turun ni.

"Mereka hantar saya sampai ke air terjun dan mereka pun balik. Trip ni memang saya tak dapat lupakan," kata Sandra.

Sandra memberitahu dia berasa kagum melihat masyarakat Malaysia yang majmuk dapat saling bantu-membantu.

"Kita di Malaysia sebenarnya dapat hidup secara harmoni. Trip ni buat saya terfikir tentang tu.

"Mungkin ada jenayah sana sini, tapi saya rasa selamat untuk ada dengan keluarga yang saya tak kenal.

"Saya boleh percaya mereka. This is Malaysia," kata Sandra mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain