suria

Kanak-kanak buat drama atas podium, ada scene hentak kaki sebab dapat nombor 2 - “Hijau tak boleh kalah dengan kuning”

Kanak-kanak perempuan merajuk kerana mahu berdiri di podium pertama.

VIDEO yang memaparkan seorang kanak-kanak perempuan merajuk dan enggan dikalungkan pingat kerana mendapat tempat kedua dalam kejohanan Taekwondo 1000 Liga Manjung 2022 di Manjung, Perak mencuit hati warganet.

Mana tidaknya, selain mimik muka yang sedih dan menunduk dia juga berpeluk tubuh kerana tidak mahu berada di podium kedua.

Malah kanak-kanak berkenaan juga menghentak kakinya beberapa kali sambil menunjukkan podium tempat pertama seolah-olah memberi isyarat ingin berdiri di situ.

Ekoran perangainya itu, salah seorang penganjur terpaksa tampil ke hadapan dan memegangnya supaya pingat dapat dikalungkan.

Bagaimanapun, wajahnya masih kelihatan sugul sehinggalah dia berjalan turun sambil berpeluk tubuh.

Bercerita mengenai apa yang berlaku, pemilik video, Faradeelah Daud berkata, dia pada awalnya ingin membuat rakaman suaminya, Mohd Rafiq Mohd mengalungkan pingat kepada para pemenang selepas tiba-tiba dijemput oleh penganjur.

Program tersebut adalah anjuran Kelab Belia dan Sukan (KBS) Manjung yang diadakan pada Sabtu lepas.

"Saya dan suami datang ke pertandingan tu kerana anak kami menyertai salah satu kategori yang dipertandingkan.

"Tapi semasa sesi penyampaian hadiah, tiba-tiba penganjur menjemput suami saya untuk kalungkan medal kerana dia salah seorang Ahli Majlis Perbandaran Manjung.

"Tak sangka pula akan berlaku 'drama' sebegitu... memang agak terkejut tapi mencuit hati kerana budak perempuan tu tak terima kekalahan," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurut wanita berusia 34 tahun itu lagi, 'drama' tersebut berlangsung selama lebih seminit sehinggakan kanak-kanak tersebut terpaksa dipujuk sendiri oleh jurulatihnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Juara pertandingan lukisan sekolah dituduh pakai ‘kabel’, ibu tak puas hati! Ada yang syak pemenang mesti anak cikgu atau PIBG

ARTIKEL BERKAITAN: “Pakai kat Dataran Merdeka, nanti masuk TV” - Netizen pujuk juara bertahan kalah pertunjukan fesyen, puji dress cantik

Faradeelah bagaimanapun memuji aksi dan kehebatan kanak-kanak terbabit ketika pertandingan berlangsung.

Anak Faradeelah (dua kiri) dinobatkan juara pertandingan taekwando kategori lelaki bawah 6 tahun.

Anak Faradeelah (dua kiri) dinobatkan juara pertandingan taekwando kategori lelaki bawah 6 tahun.

"Dia wakil sekolah lain. Semasa pertandingan tu memang aksi dia bagus, cuma kalah dan menang tu dah menjadi adat permainan.

"Mungkin sebab dia pakai tali pinggang hijau jadi tak boleh terima diri kalah pada junior," tambahnya.

Berkongsi cerita tentang anak tunggalnya, Putra Rifqi Iskandar yang turut sama menyertai pertandingan bagi kategori lelaki bawah enam tahun, ujarnya, dia yang diajar jurulatih sama seperti kanak-kanak perempuan itu dan berjaya mendapat johan.

Mengakui tidak menjangkakan keputusan tersebut, anak kelahiran Perlis itu berkata, ia mungkin rezeki anaknya yang baru menyertai pasukan taekwando kira-kira enam bulan lalu.

"Memang tak jangka langsung sebab dia tidak ada pengalaman masuk pertandingan atau berlawan.

"Apa pun saya bersyukur dengan keputusan berkenaan walaupun ada yang menyatakan ia disebabkan 'kroni' berikutan suami ahli majlis," luahnya yang kecewa dengan kata-kata masyarakat setempat.

Sungguhpun diberi tekanan sebegitu, dia menganggapnya sebagai gurauan antara masyarakat.

Faradeelah bersama suami dan anaknya.

Faradeelah bersama suami dan anaknya.

Terdahulu, aksi yang dirakam itu menjadi tular dan dikongsikan di pelbagai platform media sosial sehingga mendapat 2.3 juta tontonan serta 111,000 tanda suka direkodkan di aplikasi TikTok.

Rata-rata warganet turut meninggalkan komen memujuk dan mencuit hati kerana terhibur melihat reaksi kanak-kanak yang bertanding bagi kategori 4 hingga 6 tahun itu merajuk.

Bagaimanapun ada yang menyatakan dia enggan terima kekalahan kerana merupakan 'senior' berikutan memakai tali pinggang berwarna hijau.

Adik, you are going to be great. At this age, u have showed high level of competitiveness.

NETIZEN

"Terbakar sebab hijau nombor dua, yang menang nombor satu kuning... junior.

"Mana tak koyak, dia hijau nombor dua... kuning pula nombor satu.

"Mahunya tak kecewa. Senior kalah dengan junior.

Antara komentar yang ditinggalkan netizen.

Antara komentar yang ditinggalkan netizen.

"Dia tali pinggang hijau, mana boleh kalah dengan kuning. Sebab itu tak puas hati... comel kau dik," ujar beberapa netizen.

Dalam pada itu, ada juga yang memuji tindak tanduk kanak-kanak perempuan berkenaan dan menyifatkan dirinya sebagai seorang pejuang.

Malah ada yang berkata, dia akan berjaya menjadi seorang jaguh dalam sukan taekwando.

"Mesti jadi fighter bila dah besar. Nak nombor satu saja, terbaik adik.

"Semangat macam ni yang kita mahu, pasti suatu hari nanti dia juara.

"Suka perangai macam ni, tak puas hati bila kalah. So you have to become fighter, fight till win. Dalam hidup kena berlawan untuk berada di atas, bravo girl.

"Adik, you are going to be great. At this age, u have showed high level of competitiveness... kudos to parents," kata beberapa netizen lagi memberi semangat kepadanya.

Tidak kurang juga yang menasihati ibu bapa kanak-kanak berkenaan supaya mengajar tentang 'adat perlawanan' iaitu kalah dan menang.

Ia bagi membolehkan mereka melalui proses gagal atau kekecewaan dengan cara yang positif sekali gus membina jati diri dengan lebih baik.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain