suria

Ibu agresif pukul anak dalam bas ekspres rupanya tertekan, mentua halau rumah... Mengaku lama tak solat punca masalah

Kisah wanita malang berkenaan menjadi tular baru-baru ini selepas videonya memaki dan memukul anaknya dikongsikan seorang gadis di media sosial.

INGATKAH anda pada kisah seorang ibu yang memukul serta memaki anaknya di dalam bas ekspres sebagaimana yang tular baru-baru ini?

Menerusi video yang dikongsikan oleh seorang gadis, si ibu bukan sahaja bertindak memukul, malah tidak henti-henti memarahi anaknya selain turut menggunakan bahasa yang kurang sesuai sehingga membuatkan penumpang lain tidak tahan lantas menegur perbuatannya.

Menurut gadis berkenaan yang berkongsi cerita menerusi paparan Instagram story, kejadian tersebut berlaku ketika bas ekpres yang dinaikinya dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Temerloh pada hujung minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penumpang tak tenang, sebak dengar ibu mencarut, maki anak hampir 8 jam dalam bas ekspres! Gadis terpaksa minta polis tegur

Susulan tersebarnya video tersebut, rata-rata netizen mengecam ibu berkenaan kerana geram dengan tindakannya yang disifatkan sebagai tidak wajar.

Bagaimanapun perkongsian seorang individu yang dikenali sebagai Shira Ira merungkai kisah sebenar yang menyelubungi ibu dua anak tersebut sehingga mendorongnya bertindak agak keterlaluan seperti dalam rakaman yang tular.

Menurut wanita tersebut, dia secara kebetulan terjumpa tiga beranak beranak berkenaan yang menginap di bilik bajet berhadapan dengan Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.

maki 2

Shira Ira membawa wanita malang berkenaan ke pejabat JKM.

"Rupa-rupanya dia dihalau mak mentua. Suami masuk lokap sebab ambil barang (dadah). Dua orang anak yang dia bawa tu anaknya dengan suami lama. Katanya mak mentua tak suka anak-anak dia.

"Kenapa datang Temerloh? Dah singgah Kuantan cari kerja tapi tak jumpa bilik. Sementara itu dia dan anak-anak hanya tidur di masjid.

"Katanya nak singgah Temerloh dan nak ke Kuala Lumpur di tempat lama dia kerja sebelum ni. Tapi kalau dapat kerja di Temerloh, dia nak stay Temerloh saja.

"Tapi dengan keadaan anak-anak dia, agak susah sebab masalah dengan transport," tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook, pada Rabu.

Shira Ira yang berniaga di hadapan pintu masuk Hoshas menambah, dia kemudian menawarkan bantuan dengan menghantar tiga beranak itu ke homestay milik keluarganya buat sementara.

komen maki

Pelbagai reaksi daripada netizen susulan perkongsian Shira Ira, namun rata-ratanya meluahkan rasa simpati kepada wanita tersebut.

"Umi (ibu) bagi dia telekung suruh solat, mandi dan umi nasihat dia. Masa ni kami tak tahu lagi kisah dia dah viral. Sedih tengok keadaan anak dia.

"Tengah hari (Isnin), kami dapat tengok video viral tu. Tapi tetap kena tolong umi kata. Umi nasihat dia, jangan pukul anak. Umi peluk anak-anak dia.

"Dia kata Allah uji dia sebab lama tak solat. Masa umi nak balik, anak dia peluk umi tak bagi balik... nak ikut umi. Kesian, macam kurang kasih sayang," kongsinya lagi.

Pada petang hari yang sama, Shira Ira berkata dia membawa tiga beranak itu ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar mereka diambil perhatian untuk diberikan bantuan yang sewajarnya.

"Alhamdullilah dapatlah sedikit bantuan. Bawa pergi makan McDonald's, bawa beli baju. Dalam kereta tu saya nasihat lagi dekat dia. Jangan mencarut dekat anak-anak, jangan pukul anak-anak.

Rupa-rupanya dia dihalau mak mentua. Suami masuk lokap sebab ambil barang (dadah). Anak dua orang dia bawa tu anaknya dengan suami lama.

SHIRA IRA

"Dia tanya saya macam mana saya tahu dia pukul anak?. Saya beritahu dia kisah akak pukul anak dalam bas dah viral.

"Terkejut dia. Dia kata boleh tak nak tengok? Saya tunjuk dekat dia. Dia kata dia malu. Dia sayang anak dia tapi tertekan dengan keadaan macam ni.

"Hari Selasa pagi, dia call minta hantar ke terminal, nak pergi Kuala Lumpur (KL). Dia pun dah sampai KL," tulisnya lagi.

Dalam hantaran berasingan, Shira Ira memaklumkan perkembangan terkini di mana wanita berkenaan sudah mendapat pekerjaan.

"Tadi saya ada call dia... dia dah dapat kerja di kedai makan dekat Chow Kit. Anak dia ada orang jaga. Alhamdullilah. Ramai yang PM, WhatsApp dan call saya untuk minta nombor telefon dia.

maki 1

Tangkap layar daripada video yang tular baru-baru ini.

"Maaf saya tak dapat nak bagi sebab tuan badan tak benarkan. Cukup sekadar mendoakan dia dan anak-anak dia katanya.

"Moga Allah permudahkan urusan dia. Buat semua netizen, cukuplah kecam dia. Kita tak rasa dan tak alami apa yang dia rasa sekarang. Kita doa yang baik-baik untuk dia," tulisnya lagi.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih melebihi 3,600 shares di Facebook selain dibanjiri ribuan komen netizen.

Rata-ratanya turut meluahkan simpati dan mendoakan ibu dua anak tersebut dipermudahkan urusan, selain menyifatkan penularan video berkenaan mempunyai hikmah untuk pengajaran bersama.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain