suria

Pemuda umur 19 tahun sanggup habis duit make-over Proton Saga usia 31 tahun, masa kecil pernah duduk dalam but nak pergi beli baju raya

Rizal melakukan make-over kereta Proton Saga yang diberikan oleh bapanya.

WALAUPUN dikatakan membazir, pemuda berusia 19 tahun ini tetap membaik pulih kereta jenis Proton Saga yang diberikan bapanya tahun lalu biarpun ramai yang menentang.

Mempunyai pandangan berbeza, dia yang hanya ingin dikenali sebagai Rizal Nan memberitahu, selain menghargai nilai sentimental, tindakannya itu bagi mengekalkan warisan dan kebanggaan negara berikutan Proton Saga adalah kereta keluaran pertama Malaysia.

"Kereta ni dari tahun 1991 lagi, hampir 31 tahun berada kat atas jalan. Ayah saya beli kereta ni dengan sepupunya pada tahun 2009, jadi dalam 13 tahun juga kereta ni jadi hak milik ayah saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadiah kemenangan RM20,000, Adibah Noor nak bayar hutang dan tebus barang kemas

ARTIKEL BERKAITAN: Duit baki beli barang, kutip dari poket suami... wanita kongsi hasil hobi menabung syiling, setahun boleh dapat 4 angka!

"Saya percaya, satu hari nanti harga kereta ni akan melambung tinggi sebab masa tu dah tak ramai guna Saga lama atau lebih dikenali 'Saga besi'. Jadi orang akan tercari-cari pemilik kereta ni.

"Ia juga model keluaran pertama dalam segala generasi Saga. Bermula Saga salun, Saga besi, Saga kotak dan selepas itu Saga Iswara, Saga BLM, Saga FLX, Saga Facelift. Jadi kalau kita tak kekalkan apa yang membuatkan Malaysia ni berjaya, siapa lagi? Saya respect Tun Mahathir Mohamad kerana berani untuk keluarkan kereta jenama Malaysia," ujarnya.

Berkongsi cerita tentang kenangan yang tidak dapat dilupakan mengenai keretanya, pembantu am kontrak itu berkata, dia pernah duduk di dalam but bersama adiknya kerana mahu mengikut bapanya membeli baju raya.

"Kami lima beradik pernah naik kereta tu untuk balik kampung. Ada sekali naik tujuh orang nak pergi beli baju raya. Masa tu mak saudara dan kawan ayah ikut sekali.

"Jadi dua orang terpaksa duduk kat bonet belakang. Saya umur 10 tahun dan adik perempuan umur lapan tahun. Masing-masing memang bergaduh la tapi terpaksa duduk sebab nak ikut sangat.

"Perjalanan tak sampai pun satu jam. Masa tu memang rasa gelap tak nampak apa. Jadi kami sepakat untuk buka bonet belakang, buka dari dalam untuk tengok pemandangan dan dapat udara banyak tapi lepas tu kena marah dengan ayah terus kami tutup semula.

"Adik menangis juga la, sekejap dia lari ke depan, sekejap dia rasa nak masuk balik," ceritanya riang sambil mengimbau kenangan lama.

Antara spare part Proton Saga yang sudah berusia 31 tahun

Antara spare part Proton Saga yang sudah berusia 31 tahun.

Ujar anak kelahiran Felda Tenggaroh 2 Mersing, Johor itu, antara memori lain yang tidak dapat dilupakan adalah dia membesar menggunakan kereta itu malah ia tidak pernah rosak sepanjang bapa menggunakannya sehingga sekarang.

"Ayah hantar pergi sekolah naik kereta ni, lagi-lagi kalau musim hujan memang kereta ni la yang diharapkan. Pergi beraya, balik kampung dengan kereta ni.

"Sepanjang ayah saya memiliki kereta Saga ni, jarang sekali 'dia' buat perangai. Jadi untuk ayah saya jual kereta ni amatlah susah sebab banyak jasanya pada keluarga kami. Walaupun masa sekarang ni orang tak pandang sangat kereta-kerata lama macam ni, tapi demi kenangan dan jasa yang tercipta, memang sayang untuk kita serahkannya pada orang lain.

"Saya sanggup repair sebab sentimental value yang ada. 'Dia' tidak digunakan hampir lima tahun dan masa tu saya masih bersekolah, tak ada duit untuk repair semula kereta ni.

Beza kereta milik Rizal Nan

Perbezaan kereta milik Rizal selepas dilakukan pengubahsuaian.

"Bagi orang yang nak 'main kereta' mereka tak akan rasa puas kalau beli kereta yang dah siap. Jadi saya nak rasa sendiri kepuasan tu dan saya baiki kereta ni dari A hingga Z. Bukan senang nak dapat condition yang macam sekarang ni tapi saya bersyukur dapat habiskan matlamat saya untuk repair semula," ujarnya yang sudah menghabiskan hampir RM13,000 termasuk cat, overhaul enjin, tukar gearbox dan cermin serta pelbagai lagi.

Katanya, ramai yang berpendapat bahawa tindakan yang dilakukan itu membazir dan lebih baik beli kereta baharu, namun ia tidak mematahkan hasratnya yang ingin mengembalikan kenangan silam yang penuh warna-warni.

"Family saya rata-ratanya memang semua support apa yang saya buat. Cuma kawan-kawan ada yang kata suruh beli kereta baru, sebab kereta lama ni banyak risiko, tapi walau apa pun orang lain kata, kita kena ada pendirian tetap. Jangan ikut apa orang kata, sebab yang keluar duit tu kita, bukan diaorang.

"Lagipun kereta ni tak pernah rosak teruk atau meragam. Kalau kita tengok atas jalan pun memang jarang ada kereta lama tersadai tepi jalan cuma pernah sekali kereta saya rosak sebelum masuk cat baru. Rosak kat Johor Premium Outlets (JPO).

"Masa tu fuel pump rosak, jadi saya start kereta tak hidup dan customer service JPO tolong telefon pomen untuk periksa kereta saya. Hampir empat jam juga saya menunggu. Lepas pomen repair tu, terbang la duit RM140 tapi saya anggap itu masalah kecil sebab fuel pump pun lama tak tukar. Lepas dari tu memang tak ada langsung masalah," katanya.

Rizal (berdiri belakang) bersama ahli keluarganya.

Rizal (kiri, berdiri belakang) bersama ahli keluarganya.

Bercerita lanjut, Rizal memberitahu, pada awalnya bapanya berat hati mahu melepaskan kereta yang penuh nostalgia itu kepadanya tetapi disebabkan bimbang ia tersadai lebih lama, kenderaan itu diberikan kepadanya.

Tambahnya, ia tersadai sejak bapanya membeli kereta baharu kira-kira enam tahun lepas.

Tambahan pula, katanya, kereta baharu yang dibeli itu mempunyai tujuh tempat duduk dan lebih memberi keselesaan kepada keluarganya.

"Saya anak ketiga daripada tujuh beradik dan dalam kesemua adik-beradik, hanya saya yang mempunyai lesen memandu. Sebab itu ayah bagi kepada saya.

"Ayah saya ni jarang nak cakap apa yang dia rasa. Tapi saya nampak la dia support dari belakang. Masa kereta ni siap pun dia tak ada kata apa-apa, cuma dia ada borak dengan pomen masa tu.

"Dia kata kereta ni dah lama guna, ada orang minta jual tapi saya tak nak jual... sayang," katanya sambil menambah, dia bukanlah berasal dari keluarga senang tapi mampu untuk meneruskan hidup kerana ibunya bekerja sebagai buruh ladang sawit manakala bapa bekerja sebagai tukang rumah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain