suria

Anak lelaki tunggal buta huruf diuji bertimpa-timpa! Rumah tenggelam, mak kena kanser, kakak maut... bingung 3 bulan tiada pendapatan

Rumah Adika musnah akibat ditenggelami banjir dan terpaksa menjaga ibunya yang sakit.

JIKA kita rasa diri kita susah, pastinya ada yang sedang hadapi hidup lebih susah daripada kita.

Begitulah apa yang dialami oleh lelaki ini, Adika Iskandar Mohamad, 30, yang kini terpaksa menanggung kesusahan hidup dalam menjaga ibunya yang sakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini korbankan kerja dan impian demi jaga ibu sakit di kampung, tapi bapa pergi dulu selepas buat 3 permintaan - “Terakhir ayah minta tidur sebelah mak”

ARTIKEL BERKAITAN: Berhenti kerja, balik kampung jaga mak sakit! Video ibu menangis anak nak tinggalkan wad undang air mata - “Pukul 5 pagi saya kena halau”

Menurut jejaka yang tinggal di Kampung Gajah Mati, Mentakab, Pahang ini, ibunya memerlukan penjagaan rapi dan pemantauan selepas disahkah oleh doktor memiliki penyakit kanser.

“Mak saya ditahan dekat wad sebab kena Covid-19 tahap lima selama 23 hari. Keadaan mak makin teruk masa kena tu jadi doktor buat pemeriksaan lanjut.

“Bila check up lagi sekali rupanya mak saya disahkan ada ketumbuhan barah pula. Jadi lepas buat rawatan susulan, doktor sahkan mak saya ada ketumbuhan pada payudara, hati dan rahim. Dah tiga bulan mak kena penyakit ni.



Ibu Adika yang sakit dan memerlukan bantuan dana untuk pembedahan.

“Sampai sekarang mak cuma bergantung dekat ubat dan minum susu khusus yang memerlukan jumlah perbelanjaan besar setiap bulan. Mak dah tak boleh nak bergerak macam orang lain jadi terpaksa pakai lampin dewasa,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

Tidak terhenti di situ, Adika menerima satu lagi berita pada 23 Januari bahawa kakak kandungnya terbabit dalam satu kemalangan jalan raya yang meragut nyawa wanita itu dan anak saudaranya.

Saya tak pernah pergi sekolah dari kecil. Membaca dan mengeja pun saya tak tak pandai.

ADIKA

“Malam tu kakak dalam perjalanan balik rumah dekat Kuantan sebab esoknya anak-anak dia dah masuk sekolah.

“Tiba-tiba saya dapat satu panggilan dari hospital bagitahu kakak saya terlibat dalam kemalangan. Kakak dan anak saudara meninggal di tempat kejadian. Abang ipar dan sorang lagi anak saudara yang pecah kepala tu masih dalam keadaan kritikal di hospital,” jelasnya.



Abang ipar Adika dan anak saudara yang terselamat dalam kemalangan tetapi mengalami kecederaan parah.

Imbas anak ketiga daripada enam beradik ini, dia buntu dan tidak berdaya menghadapi keadaan sukar yang sedang menghimpit dirinya ini.

Jelas Andika yang sudah hampir tiga bulan tidak bekerja, dia tidak memiliki sebarang kelulusan atau sijil untuk memohon pekerjaan yang bergaji tetap.

“Hari tu banjir teruk di kawasan sini sampai habis semua benda tenggelam. Beranda depan rumah pun runtuh dan masih tak ada lagi dapat bantuan atau pertolongan daripada mana-mana pihak.



Keadaan rumah Adika yang turut terkesan dengan banjir.

“Saya seorang je lelaki dalam adik beradik. Ayah pula dah lama meninggal. Sekarang saya kerja buruh saja. Kalau ada orang nak buat rumah, adalah rezeki saya bila dapat bayaran upah buat kerja tu. Tapi dah dua tiga bulan juga saya tak ada kerja.

“Saya tak mampu nak kerja macam orang lain. Saya tak pernah pergi sekolah dari kecil. Membaca dan mengeja pun saya tak tak pandai. Nak minta kerja macam orang lain siapa nak ambil dengan tak ada sebarang kelayakan ni,” tambahnya.



Arwah kakak Adika bersama anak saudaranya yang meninggal dalam kemalangan jalan raya.

Tambah Adika lagi, dia berhasrat untuk mencari pekerjaan di Kuantan namun dia terpaksa menguruskan ibunya yang memerlukan penjagaan rapi bersama adik bongsunya.

“Adik saya nombor lima tu kerja di pasaraya di Starmall, Mentakab. Gaji dia lebih kurang RM1,200 saja setiap bulan nak tampung keluarga kami.

“Kakak saya yang di Johor pun sudah berkeluarga jadi dia pun ada tanggungan sendiri. Nak tak nak saya kena juga usaha cari duit demi nak tanggung kos perubatan mak saya,” kata Adika.



Adika bersama ibu dan dua adiknya.

Menerusi satu perkongsian cerita oleh sahabatnya di TikTok dalam usaha membantu Adika, ramai netizen yang berbesar hati ingin menghulurkan bantuan kepada jejaka tersebut.

Posting tersebut turut mendapat perhatian usahawan kosmetik seperti Anas Zahrin yang bercadang untuk membuat lawatan ke rumah Adika dan memberi bantuan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain