suria

Curi-curi rakam video eksperimen sosial, YouTuber terkedu jumpa semula pakcik bantu sikat rambut... kata-kata pemandu bas itu memang tak dijangka

Leeroy bertemu semula Pakcik Aris setelah video eksperimen sosialnya sebelum ini menjadi tular.

SATU 'eksperimen sosial' yang dibuat oleh seorang YouTuber berbangsa Cina baru-baru ini tular.

Dalam video tersebut, terserlah semangat kekeluargaan dan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Eksperimen sosial’ pasangan belum lengkap divaksin undang padah, premis dikesan langgar SOP PPN diarah tutup serta-merta

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu 4 anak confident bawa bas seluruh pelusuk negara, tak kisah orang perkecil kemampuan diri - “Ada yang takut nak naik”

Ramai netizen tersentuh dengan video tersebut yang menunjukkan seorang lelaki Melayu yang sudah berusia memakaikan tali leher dan menyikat rambut pemuda berkenaan yang sebenarnya sedang melakukan eksperimen sosial.

Pakcik tersebut bertindak spontan membantu merapikan pemuda berkenaan tak ubah seperti anak sendiri apabila diberitahu bahawa dia akan menghadiri temuduga dan tidak pandai mengikat tali leher.

Setelah video menyentuh hati itu mendapat respon positif, jejaka tersebut yang dikenali sebagai Leeroy Wong bertindak mencari semula pakcik berkenaan.

Usahanya berjaya dan rakaman pertemuan kedua yang dimuat naik sekali lagi membuatkan netizen beremosi apabila lelaki tersebut yang dikenali sebagai pakcik Aris dengan bersahaja memeluk dan mencium pipi Wong seperti anak sendiri.

Ketika mereka berjumpa semula di sebuah stesen bas, Wong mengambil peluang tersebut memohon maaf kepada pakcik Aris kerana baru berkesempatan untuk memaklumkan tentang rakaman video eksperimen sosial itu yang tular dan mendapat perhatian ramai.



Pakcik Aris menganggap Wong seperti anaknya sendiri.

Wong mengakui dia berasa sebak dan terharu dengan tindakan spontan pakcik Aris sehingga tidak mampu mengeluarkan kata-kata sejurus mendapat bantuan lelaki berkenaan kerana tidak menjangka dia akan bertindak sebegitu.

Mendengar jawapan pakcik Aris yang merupakan seorang pemandu bas ketika ditemubual mengenai tindakannya membuatkan ramai memuji kemuliaan hati bapa kepada tiga cahaya mata ini.

Saya tengok awak tu ibarat macam anak saya yang nak pergi interview.

PAKCIK ARIS

"Ikhlas saya cakap la, masa saya tengok awak tu ibarat macam anak saya yang nak pergi interview, nak kena nampak kemas," ujarnya kepada Wong dalam pertemuan mereka.

Setelah mendengar penjelasan Wong, pakcik Aris menjelaskan bahawa dia tidak sama sekali berkecil hati menjadi sebahagian dalam video eksperimen sosial malah sempat mendoakan agar pemuda itu lulus dalam temuduga pekerjaan.

"Saya betul-betul simpati dengan awak. Kalau awak lambat masa tu walau satu minit macam mana.

"You jangan angkat tangan, biar saya berdoa pada Tuhan," jelas pakcik Aris.



Wong merupakan seorang YouTuber yang menghasilkan content berbentuk eksperimen sosial.

Wong, menerusi posting di Instagram turut menyatakan rasa bersyukur menjadi rakyat Malaysia kerana selama empat tahun menghasilkan content, inilah kali pertama dia berdepan dengan momen di mana setiap individu begitu mesra walau saling tak mengenali dan berasa dekat dengan hatinya.

Walaupun hanya sekadar content, Wong berharap semoga mesej yang cuba disampaikan dapat diambil pengajaran dan boleh dicontohi orang lain.

Dia juga berharap agar mereka yang menjadi pengikut baharunya di media sosial tidak salah faham berkenaan content yang dihasilkannya kerana ia dibuat untuk menyampaikan mesej secara santai.



Pakcik Aris merupakan seorang pemandu bas Go KL.

Melalui perkongsian video di TikTok tersebut, pakcik Aris menyatakan ucapan tahniah dan rasa bangganya dengan usaha yang dilakukan oleh anak muda ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain