suria

Bos muda syarikat binaan strok akibat letih bekerja, main game... isteri tetap setia ajar suami mengeja semula - “Tak ada maknanya saya nak malu”

Syazwani tidak pernah berputus asa dengan suaminya yang lumpuh akibat strok.

REMUK - hanya itu perkataan yang sesuai bagi menggambarkan hati dan perasaan Syazwani Adnan, 27, apabila doktor mengesahkan suaminya yang baru berusia 28 tahun mengalami pendarahan otak serta disahkan strok.

“Terus terbayang wajah anak-anak kami yang masih kecil, saya rasa kosong sangat hidup,” ceritanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tutuplah mata tu tak payah pandang” - Disuruh jaga muka penuh jerawat, gadis akui menangis sebelum rakam video tapi tetap tenang jawab komen tak sensitif

ARTIKEL BERKAITAN: Betul-betul berkorban... guru sempoi ajar murid cara lompat tinggi lengkap berbaju Melayu - “Bukan sekadar bagi teori, kena tunjuk betul-betul”

Mengimbau kembali insiden pahit yang berlaku pad 3 Ogos itu, Syazwani berkata, dia menerima panggilan telefon dari pejabat yang memaklumkan bahawa suaminya, Shahrul Liza jatuh di bilik air.

“Saya sangat-sangat terkejut. Masa dia kena strok tu saya tak ada di tempat kejadian, dia jatuh di tandas pejabat.

“Bila saya dapat panggilan dari ofis saya ingat dia hanya pengsan biasa sebab sebelum kejadian dia masih aktif, boleh pergi meeting, breakfast, borak gelak-gelak dengan staf.

“Tiba-tiba je jatuh di tandas tanpa ada apa-apa simptom,” katanya sambil menambah suaminya itu bekerja di syarikat sendiri.



Shahrul rebah secara tiba-tiba di bilik air di pejabatnya.

Menurut Syazwani, pihak hospital memaklumkan bahawa suaminya terkena serangan strok akibat pendarahan dalam kepala.

Kesan daripada kejadian itu, Shahrul kini lumpuh di bahagian kaki kanan dan sukar bercakap.

Waktu dia di hospital, air mata saya setitis pun tak jatuh depan dia sebab nak dia kuat, bila dia tengok saya kuat, jadi kita sama-sama berjuang demi keluarga.

SYAZWANI ADNAN

Bercerita lanjut, Syazwani berkata dia dimaklumkan bahawa serangan itu mungkin berpunca akibat tidak cukup tidur, selain tidak mendapat rehat yang secukupnya.

“Dia tak cukup rehat sebab kerja dan main game terlalu lama.

“Dia usahakan syarikat pembinaan jadi memang banyak guna komputer, lepas tu hobi dia pula main game, guna komputer juga.

“Kadang-kadang hari cuti dia main game sampai pukul 7-8 pagi,” kongsinya yang menetap di Kulim, Kedah.

Walaupun sedih, Syazwani tetap kuat demi keluarga kecil mereka.

“Alhamdullilah, hari demi hari saya cuba bangun semula, saya cuma minta dan berdoa supaya dia balik semula di sisi saya.

“Waktu dia di hospital, air mata saya setitis pun tak jatuh depan dia sebab nak dia kuat, bila dia tengok saya kuat, jadi kita sama-sama berjuang demi keluarga,” katanya.



Syazwani kekal kuat di hadapan suaminya supaya lelaki itu juga tidak berputus asa untuk kembali sihat demi keluarga mereka.

Pasangan yang berkahwin pada tahun 2016 ini mempunyai dua cahaya mata lelaki.

Menurut Syazwani, suaminya itu kini masih belum boleh bertutur dan dia terpaksa menaip menggunakan tangan kiri yang masih boleh bergerak untuk berkomunikasi.

“Bila dia balik dari hospital saya layan dia seperti biasa supaya dia tak rasa dirinya ada kekurangan, hari-hari saya bergurau dengan dia untuk kembalikan semula senyumannya.

“Masa mula-mula dia langsung tak boleh senyum, suara langsung tak keluar dan dia juga tak boleh mengeja, hari-hari saya ajar semula, sekarang day by day dia dah boleh mengeja semula untuk beritahu sesuatu,” katanya.



Pasangan ini mempunyai dua anak lelaki.

Menurut Syazwani, dia tidak pernah berasa malu dengan keadaan suaminya, malah dia bersyukur pasangannya itu masih ada di sisinya.

“Suatu malam sebelum tidur suami saya ada tanya, malu tak dapat husband macam ni?

“Tak ada maknanya saya nak rasa malu, saya rasa bersyukur masih lagi boleh bawa suami ke mana sahaja dan dia sentiasa ada di sisi saya.

"Saya dapat pimpin tangan dengan suami dan dapat suapkan dia makan," katanya.



Syazwani bersyukur suaminya masih ada di sisinya dan keluarga.

Berkongsi pesanan buat wanita yang senasib dengannya, Syazwani berkata, kaum hawa perlu sentiasa kuat dan tabah menghadapi segala ujian yang mendatang serta menghargai masa yang ada bersama pasangan masing-masing.

“Kami tinggal sekeluarga, tidak ada orang lain, ahli keluarga terdekat, adik beradik ada datang melawat untuk beri kata-kata semangat pada kami.

“Selain kata-kata semangat dari keluarga dan rakan-rakan, apa yang menguatkan saya setiap hari adalah saya percaya Allah tak akan uji di luar kemampuan kita, jadi saya yakin saya mampu harungi dugaan ini.

“Saya harap ramai wanita di luar sana akan sentiasa kuat dan tabah dengan segala ujian dan saling menghargai pasangan masing masing.

“Saya yakin ramai lagi wanita lebih hebat daripada saya,” katanya.

Menurut Syazwani, dia kini sedang dalam persiapan untuk melancarkan produk vitamin C yang mereka usahakan bersama.

“Saya tak bekerja saya cuma buat produk online sahaja, sekarang masih dalam proses, hujung bulan ni baru launch.

“Asalnya saya rancang nak buat bersama suami, tapi tak sangka suami akan jadi macam ni jadi saya tunggu suami stabil dan keadaan saya pun terkawal, baru saya lancarkan produk tu,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain