suria

Betul-betul berkorban... guru sempoi ajar murid cara lompat tinggi lengkap berbaju Melayu - “Bukan sekadar bagi teori, kena tunjuk betul-betul”

Aksi Aiman memakai baju Melayu membuat lompat tinggi meraih perhatian.

HARI sukan sekolah pastinya dirindui oleh para pelajar sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

Rakaman aksi seorang guru melakukan lompatan tinggi sedikit mengubat kerinduan itu.

Namun penampilan guru berkenaan yang memakai baju Melayu biru berserta samping songket putih ketika membuat lompat tinggi di sekolah mencuri tumpuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wah, ustaz pun nak sado juga? Guru agama ini ke gim 6 hari seminggu... janji jaga aurat, tunjuk contoh baik kepada pelajar

ARTIKEL BERKAITAN: Wow, hebatnya! Selepas kejutkan murid di kelas online, Cikgu Spiderman 'melompat' ke TikTok pula ajar netizen bahasa Arab

Guru pelatih itu, Aiman Hakim Hasbullah berkata, video yang tular sebenarnya dirakamkan pada Januari lalu ketika dia mengajar di sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar, Perak.

Pemuda berusia 21 tahun itu memberitahu, pada masa itu sekumpulan murid sedang berada di padang sekolah melakukan persediaan bagi acara lompat tinggi untuk kejohanan sukan di peringkat daerah.

"Kebetulan, saya turut berada di situ melihat mereka berlatih. Murid-murid nak lompat tinggi untuk ketinggian satu meter dan kebanyakannya tak lepas.

"Saya ada sedikit asas dalam acara lompat tinggi jadi terpanggil untuk bantu mereka berlatih. Tapi hari tu Jumaat dan saya berbaju Melayu dengan samping ke sekolah.

"Saya tak bawa baju PJ (Pendidikan Jasmani) pula. Saya pun selamba tunjuk demo lompat tinggi siap dengan pakai kasut kulit," katanya kepada mStar.

guru lompat tinggi 2

Aiman aktif bermain bola tampar semasa di sekolah.

Aiman yang menjalani latihan praktikum, melatih murid-murid berdasarkan pengalamannya ketika belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak.

"Dulu saya aktif bersukan, pernah wakil sekolah bagi acara lompat tinggi. Saya juga bermain bola tampar dan tenis," katanya yang mengikuti pengajian tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perguruan Sains Sekolah Rendah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang.

Menurut guru sains itu, dia melihat beberapa murid yang membuat persediaan latihan itu mempunyai potensi dalam aktiviti sukan.

"Saya nampak mereka ada potensi. Tapi mereka perlu banyak berlatih dan mengamalkan teknik yang betul untuk acara lompat tinggi.

"Mereka kena tahu teknik untuk melentikkan badan, kedudukan badan dan lonjakan bagi memastikan lompatan dilakukan dengan kemas," katanya.

guru lompat tinggi 3

Aiman turut menyertai sukan tenis.

Mengenai pemakaiannya ketika latihan itu, Aiman yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik berkata, ia dilakukan secara spontan demi kefahaman murid-murid.

"Begitulah pengorbanan seorang guru. Kalau nak bagi contoh kat murid-murid, kena buat sehabis baik, bukan sekadar bagi teori. Kena tunjuk betul-betul kasi mereka faham.

Kalau nak bagi contoh kat murid-murid, kena buat sehabis baik, bukan sekadar bagi teori. Kena tunjuk betul-betul kasi mereka faham

AIMAN HAKIM HASBULLAH

"Walaupun pakai samping, tak terlondeh pun sebab diikat ketat. Cuma kain samping terangkat sikit selepas selesai buat lompatan," tambahnya.

Namun, apa yang lebih membanggakan guru pelatih itu adalah prestasi murid-murid menunjukkan perkembangan yang lebih baik selepas demonstrasi berkenaan.

guru lompat tinggi 4

Aiman menyedari potensi murid-murid dalam acara lompat tinggi.

Dalam pada itu, Aiman berkata, perkongsian video tersebut turut bertujuan untuk menaikkan semangat murid-murid yang akan kembali belajar secara fizikal di sekolah tidak lama lagi.

"Bila dah buka sekolah, pastinya ramai murid lebih excited setelah sekian lama mereka duduk di rumah atau belajar dari rumah.

"Saya berharap pembukaan semula sekolah ini mengembalikan semangat murid-murid untuk belajar lebih rajin," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain