suria

Kongsi video memasak guna dielek Kelantan, wanita ini jawab tuduhan sengaja buat suara mengada-ngada - “Orang tak boleh terima saya bercakap manja”

Che Pia tampil memberi penjelasan apabila ada yang menuduh dia sengaja menggunakan suara manja dalam video masakannya.

USAHA gigih wanita ini berkongsi pelbagai menu masakan membolehkan dia meraih hampir 100,000 pengikut di aplikasi TikTok.

Menurut Che Nur Sofea Hanis Che Baharuddin, 30, dia mahu menyambung legasi bapanya dan berharap segala menu yang diturunkan kepadanya turut memberi manfaat kepada insan di luar sana.

"Saya memang suka memasak sejak kecil lagi. Abah saya dulu bekerja sebagai cef hotel. Kemudian abah juga ada buka restoran. Selain itu, saya selalu ikut ketika abah berniaga bazar Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejak kecil rajin ke dapur, aksi masak campak-campak sambil tersenyum bikin hati cair... Wow! Jejaka awet muda terima banyak mesej cari jodoh

ARTIKEL BERKAITAN: Berkopiah masuk dapur, video masak kerang mampu raih jutaan views... rupa-rupanya ramai suka sebab ustaz muda ni ada ‘selit’ ilmu lain

"Sejak sekolah rendah saya dah boleh buat hidangan bergoreng. Kemudian ketika umur 15 tahun, saya dah pandai buat kek. umi dan abah saya tak marah kalau anak-anak masuk dapur, mereka biarkan saja. Dari situ timbul minat.

"Jadi saya rasa nak kongsi menu saya sendiri serta menu abah dengan orang ramai. Nak kembangkan lagi legasi abah. Selain memasak, saya juga suka rakam dan edit video. Nak edit diri sendiri, kita tak cantik. Jadi saya edit video masakan," ujarnya berseloroh.

Mesra disapa Che Pia, wanita dari Kelantan itu mula berkongsi video masakan menerusi Instagram sebelum beralih ke platform TikTok ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Ujar Che Pia, pengikutnya di TikTok turut meningkat apabila dia juga rajin berkongsi menu diet serta kisah transformasi fizikalnya.

chepia2

Che Pia berasal dari Kelantan dan kini menetap di Selangor.

"Dulu sekadar kongsi di Instagram untuk kawan-kawan. Kemudian ketika PKP, kita pun tak boleh merentas negeri, saya mula kongsi video masakan di TikTok.

"Kemudian beberapa video saya mula viral. Orang juga tengok video saya sebab saya ada berkongsi mengenai proses turun berat badan. Dulu saya 145 kilogram (kg), sekarang dalam 80kg. Saya juga ada kongsi video menu diet," ujarnya yang menetap di Bangi, Selangor.

Depression dan anxiety saya juga makin berkurang sebab ada kawan-kawan dan boleh bergaul dengan orang dalam TikTok.

CHE PIA

Kata Che Pia, dia terharu apabila ada pengikutnya menggunakan menu yang dikongsi untuk memulakan perniagaan makanan dan bersedekah.

Jelasnya, ia membuatkan dia gembira dan meniup semangat untuk dirinya menghasilkan lebih banyak video masakan pada masa akan datang.

"Ada video yang saya kongsi, mereka belajar menu itu dan pergi sedekah makanan kepada masjid. Saya terharu sangat.

"Kemudian, ada juga yang berniaga makanan selepas belajar cara untuk menghasilkan menu itu menerusi video saya.

chepia3

Antara menu masakan yang dikongsi oleh Che Pia.

"Abah selalu pesan, kalau tak boleh tolong orang dengan duit, kita boleh tolong dengan tulang empat kerat," ujarnya.

Menurut Che Pia, di sebalik segala sokongan yang diberikan netizen, dia turut dikecam dan dituduh sengaja menggunakan suara manja dalam setiap video yang dihasilkannya.

"Saya menggunakan dielek orang Kelantan lama untuk tarik minat penonton. Tapi ada yang komen negatif kata suara saya mengada-ngada dan gedik. Itu sebenarnya cara orang Kelantan lama bercakap.

"Orang tak boleh terima saya bercakap manja. Orang luar tak biasa dengar, mereka fikir saya suka-suka nak tarik perhatian. Tapi ramai orang Kelantan back up.

Jelas Che Pia, dia pada awalnya turut berkecil hati, namun lama-kelamaan mula terbiasa dengan komen sebegitu dan menganggap ia sebagai cabaran biasa yang perlu dilaluinya sebagai pengguna media sosial.

chepai3

Che Pia juga pernah berkongsi mengenai transformasi fizikalnya di TikTok.

"Biasalah, pada awalnya saya macam kejutan budaya dengan netizen. Orang kata buruk, saya akan balas. Kemudian saya fikir, sampai bila saya nak balas?

"Saya pernah menangis kerana dikecam. Selepas itu, segala komen buruk saya hanya balas dengan ucapan Alhamdulillah saja. Ibaratnya, orang bagi tahi, saya bagi bunga.

"Kita 'matikan' komen mereka dengan perkataan Alhamdulillah dan terima kasih, jadi mereka pun akan berhenti," ujarnya yang bekerja sebagai kerani di Putrajaya.

Menurut Che Pia lagi, dia sebelum ini turut menghidap depresi dan menjadikan TikTok sebagai satu terapi buat dirinya.

chepia5

Dedah Che Pia, dia turut menerima komen kecaman di TikTok.

"Saya sendiri ada depression dan anxiety. Melalui video masakan, saya boleh berkomunikasi dengan orang.

"Ada yang beranggapan TikTok ni negatif, tapi bagi saya, ia kurangkan tekanan, tambah-tambah ketika kita berkurung semasa PKP.

"TikTok jadi sumber yang baik. Depression dan anxiety saya juga makin berkurang sebab ada kawan-kawan dan boleh bergaul dengan orang dalam TikTok.

"Jadi saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang beri sokongan kepada saya. Saya bersyukur video masakan saya dapat beri manfaat," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain