suria

Reda... Satu-satunya anak lelaki 'dipinjamkan' hanya 18 tahun, ibu kongsi kisah tragis di ICU - “Memang tak ada dah lain kalinya”

Kenangan... seorang ibu berkongsi luahan mengenai arwah anak lelakinya yang dijemput Ilahi pada 2015. foto facebook Ella Suria

AJAL dan maut itu adalah ketentuan Tuhan, namun pemergian insan tersayang sudah pasti mengundang hiba.

Kasih dan rindu tetap menebal dalam diri meskipun bertahun-tahun telah dijemput Ilahi.

Menerusi satu perkongsian seorang ibu, gambar-gambar arwah anaknya semasa beruisa tiga dan 18 tahun, dimuat naik dengan luahan isi hati yang amat bermakna.

ARTIKEL BERKAITAN: Kasih seorang bapa... nota tulisan tangan, isyarat doa dan solat memori terakhir sebelum lalui 'tidur' yang panjang - "Abah ucapkan sayang"

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir 2 tahun stok baju kurung masih tak laku, ibu pula dijemput ilahi... pesanan arwah suntik semangat anak sulung, pastikan bisnes bundle jadi kenyataan!

Menurut wanita berkenaan, anak lelakinya itu mengalami kemalangan pada 18 November 2015 sebelum dimasukkan ke hospital dalam keadaan koma.



Foto arwah anaknya ketika berusia tiga tahun.

"Dia koma. Di bilik ICU (unit rawatan rapi) kami dipanggil oleh doktor dan diberitahu anak kami dalam keadaan kritikal dan otaknya tidak berfungsi lagi.

"Dia hanya dibantu oleh mesin (sokongan) hayat... Malam tu juga doktor minta agar kami membuka wayar (hentikan mesin sokongan hayat).

"Tapi saya tak mahu kerana ia akan menghantui hidup saya. Seolah-olah saya yang membunuhnya. Saya kata kalau dia nak pergi, biarlah Allah yang mengambilnya," tulis pengguna Facebook bernama Ella Suria di laman sosial, di mana posting tersebut turut dikongsikannya di grub Facebook Peminat Gambar-gambar Lama dan Klasik.

Selain dirinya yang berduka, wanita itu turut memberitahu luluh hati suaminya sebagai bapa apabila melihat satu-satunya anak lelaki mereka terbaring kaku tidak bermaya.



Luahan seorang ibu di Facebook.

Menurutnya, anaknya yang berusia 18 tahun ketika itu menghembuskan nafas terakhir pada pagi 20 November, dua hari selepas kemalangan.

"Pada pagi Jumaat 20 November 2015 pukul 4 pagi selepas membaca Yasin, saya berdoa, Ya Allah, jika Engkau mahu mengambil anakku, Engkau ambillah, aku reda dan ikhlas.

"Saya pergi kepada anak dan berbisik di telinganya. Boy (panggilan anak), ibu ampunkan dosa-dosa Boy, ibu halalkan setiap titis air susu ibu yang Boy minum. Kalau Boy nak pergi, pergilah ibu reda dan ikhlas," katanya.

Saya kata kalau dia nak pergi, biarlah Allah yang mengambilnya

IBU

Mengimbas kembali, wanita berkenaan memberitahu Jumaat lalu genap lima tahun pemergian anak lelakinya itu, pada tarikh dan hari yang sama.

"Hari ini Jumaat 20 November 2020, genaplah lima tahun pemergiannya. Al-Fatihah (dibaca) buatmu anakku.. Semoga Allah mengurniakan syurga tanpa hisab kepadamu yang soleh. Amin," katanya.

Menyifatkan anaknya seorang yang baik dan taat kepada ibu bapa, wanita itu berkata, anaknya tidak pernah melawan kata-kata mereka.



Reda dengan pemergian anak yang dijemput Ilahi.

"Tak pernah melawan kata ibu dan ayah kerana dia tahu kata-kata ibu itu satu doa. Tak pernah keluar rumah tanpa izin daripada saya.

"Kalu kita tak benarkan dia keluar, dia akur tidak membentak. Hati seorang ibu tu selalu tak sampai hati, kasihan pula. Bila kita bagi dia pergi, dia tak akan pergi. Pergilah, ibu izinkan.

"Dia akan datang dan memeluk saya dan berkata, tak apa ibu, lain kali Boy boleh pergi. Tapi memang tak ada dah lain kalinya," katanya.

Walaupun lima tahun berlalu, kasih sayang terhadap anak lelakinya itu tidak pernah luntur malah bersyukur kerana di atas kurniaan cahaya mata yang begitu bernilai.

"Allah bagi pinjam hanya 18 tahun. Walau ku genggam erat, Allah pemilik segalanya," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain