suria

Kisah 2 bungkus nasi dan sekeping tilam buat pemuda ini sebak, tak sempurna tapi jujur – “Dia tiada siapa-siapa, hanya anak angkat lelaki sahaja”

Kisah dua beranak gelandangan yang dikongsi Muhammad Hafiz di Twitter menyentuh hati netizen

“DALAM keadaan dia yang tidak berupaya, tiada apa-apa tapi dia masih lagi memikirkan orang lain... itu yang membuatkan saya benar-benar tergamam dan tersentuh”

Demikian kata seorang pemuda yang berkongsi kisah mengenai dua beranak gelandangan yang ditemuinya baru-baru ini.

Pemuda bernama Muhammad Hafiz Abdul Aziz ini berkata, kedua-dua beranak tersebut ditemuinya ketika dia dan rakan-rakan baru selesaikan mengedarkan bantuan makanan kepada gelandangan di sekitar ibu kota.

ARTIKEL BERKAITAN: Dari baki berbelas ringgit, kini transaksi wang masuk akaun disekat... pemuda bantu pasangan OKU akui kuasa viral - “Mereka tak perlu ke Hospital Ampang lagi”

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... makcik mualaf sendirian naik wheelchair pergi beli barang selepas dapat BPN, luah ‘impian besar’ kepada ustaz Ebit

“Ketika itu kami baru selesai mengagihkan makanan di sekitar Pasar Seni dan Dataran Maybank. Entah kenapa ketika itu saya tergerak untuk lalu di sekitar pusat beli belah Kenanga.

“Elok sahaja kereta kami belok, terus ternampak seorang kanak-kanak lelaki sedang menolak kerusi roda yang dinaiki bapanya. Terus kami berhenti dan berikan dua bungkus nasi serta minuman.

“Ketika itu terdengar anaknya bertanya kepada si bapa ‘Cukup ke abah?’. Dari raut wajah si anak, nampak seperti kelaparan atau belum makan. Namun apa yang menyentuh hati apabila mendengar jawapan si bapa yang menjawab ‘Cukup... bagi orang lain pula’.

“Sepanjang saya dan rakan-rakan buat charity beri makanan, ini yang paling menyentuh hati. Sebab kadang-kadang ada je gelandangan yang menipu untuk mendapatkan makanan lebih. Tapi berbeza pula dengan lelaki ni. Walaupun tak sempurna tapi punya hati yang cukup tulus, ” ujarnya.

Tangkapan skrin dari video yang dikongsikan Muhammad Hafiz benar-benar menyentuh hati netizen.

Memuat naik video di Twitter, ketika pertama kali terserempak dengan dua beranak, Muhammad Hafiz berkata, dia sama sekali tidak menyangka perkongsian tersebut mengundang perhatian netizen.

Malah dia mendedahkan menerima banyak mesej di laman sosial itu daripada individu yang ingin membantu kedua-dua beranak tersebut, selain ada juga yang menyuarakan hasrat untuk turut sama ingin menyumbang dan turun padang dalam aktiviti kebajikannya bersama rakan-rakan.

Muhammad Hafiz (kiri) bersama rakan-rakannya yang berkunjung ke teratak Pak Eddy bagi menyampaikan bantuan.

“Ada yang nak sumbangkan kerusi roda baharu untuk si bapa. Ada juga yang tanya mengenai nombor akaun dan nombor telefonnya untuk dihubungi. Tapi setakat ini, masih sedang diusahakan perkara ini.

“Kami ada melakukan kunjungan kali kedua ke ‘teratak’ mereka selepas mengetahui lokasinya. Sungguh menyedihkan... ia bukan sebuah rumah sebaliknya hanya tempat usang yang hanya ada sekeping tilam. Tiada tandas, tiada bekalan elektrik, tiada dapur untuk memasak, ” ujarnya yang mula aktif membantu gelandangan sejak hujung Mac lalu.

Dia tiada siapa-siapa, hanya anak kecil berusia tujuh tahun itu sahaja. Kanak-kanak itu adalah anak angkat yang dipelihara sejak lahir.

MUHAMMAD HAFIZ ABDUL AZIZ

SUKARELAWAN

Menurut anak muda berusia 25 tahun ini, kunjungan kali kedua itu bertujuan untuk menyampaikan sumbangan kerusi roda dan bekalan makanan kering yang disumbangkan orang ramai.

“Ketika kami datang, kedua-duanya ada di rumah. Ketika itulah kami bertanyakan serba sedikit mengenai kisah hidup dua beranak ini. Si bapa hanya dikenali sebagai Eddy. Dia berkerusi roda selepas ditimpa kemalangan jalan raya 11 tahun lalu.

“Kemalangan tersebut menyebabkan kakinya patah dan terpaksa dimasukkan besi. Kini besi di dalam kakinya pun dah patah. Dia tiada siapa-siapa, hanya anak kecil berusia tujuh tahun itu sahaja. Kanak-kanak itu adalah anak angkat yang dipelihara sejak lahir.

“Ketika ditanya mengenai isteri, dia hanya beritahu isterinya mempunyai urusan. Pak Eddy agak keberatan untuk bercerita lanjut mengenai keluarganya. Disebabkan keadaannya itu, dia hanya mengemis untuk meneruskan kehidupan,” ceritanya Muhammad Hafiz lagi.

Muhammad Hafiz dan rakan-rakannya aktif membantu gelandangan sejak kerajaan mengautkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu tambah Muhammad Hafiz, selain kerusi roda, hasil sumbangan orang ramai juga digunakan untuk membeli barang keperluan, makanan dan pakaian untuk kedua-dua beranak tersebut.

“Pak Eddy hanya mampu ucapkan terima kasih kepada semua atas sumbangan yang diberikan. Katanya, mungkin itu adalah rezeki kerana menjaga anak kecil tersebut seperti anak sendiri, ” ujarnya.

Ujar Muhamad Hafiz, dia bersyukur dan terharu apabila perkongsiannya itu menjadi tular sehingga mendapat perhatian insan-insan yang prihatin.

“Yang menyumbang adalah anda semua. Kami hanya tolong sampaikan sahaja. Alhamdulillah, ramai yang bagi maklum balas positif. Siap ada yang nak sertai sekali.

“Ada juga yang kata mereka terinspirasi dengan inisiatif kami. Terima kasih atas sokongan dan doa anda. Saya sendiri baru saja terlibat, tapi bila dah mula, kita rasa nak tolong lebih ramai lagi. Bagi saya tak perlu tunggu kaya kalau nak bantu, cukup dengan usaha insyaAllah dipermudahkan,” katanya mengakhiri bicara.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Lain