suria

Pengantin ‘buat hal’ pakai reben panjang, tetamu keliru majlis tak ikut adat sendiri - “Ada yang patah balik, ingatkan salah kenduri”

Remaathi dan Thanaseelan mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record kerana reben gaun pengantinnya mempunyai ukuran sepanjang 407.75 meter. Foto: NESH Studios

SEJAK kebelakangan ini timbul beberapa isu membabitkan kaum-kaum di Malaysia, namun secara keseluruhannya semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat tetap utuh.

Perkara ini dapat dilihat melalui majlis perkahwinan Remaathi, 31 dan suaminya, Thanaseelan, 32 yang hangat menjadi bualan di media sosial gara-gara ia dilangsungkan mengikut adat istiadat Melayu.

Bercerita kepada mStar, Remaathi memberitahu perkahwinannya itu memang telah dirancang berkonsepkan adat orang Melayu, termasuklah dari segi pemakaian baju kebaya songket, makanan serta pemilihan lagu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya ada ketuk cermin, lambai orang kat luar...” - Lelaki ini cemas terkunci dalam bank tengah malam, kongsi cara penyelesaian

ARTIKEL BERKAITAN: Meragam tak nampak ibu, bapa ‘kurung’ baby dalam almari... reaksi si kecil selepas kejadian sangat tak disangka!

"Hampir setahun kami rancang untuk adakan perkahwinan seperti ini. Saya ingin menjadikan perkahwinan sebagai satu memori yang tak akan dilupakan.

"Suami saya juga tiada masalah dengan cadangan saya malah dia turut teruja untuk melangsungkan majlis perkahwinan lain daripada lain," ujarnya.

Remaathi dan Thanaseelan mengenakan busana songket pada hari perkahwinan mereka. Foto: NESH Studios

Ketika ditanya mengapa adat orang Melayu menjadi pilihan untuk konsep perkahwinannya, ia mempunyai kaitan dengan cara dirinya dibesarkan dan latar belakang keluarga.

"Saya dibesarkan di Kampung Tok Bedu, Pulau Pinang. Hanya keluarga saya sahaja yang berketurunan India di dalam kampung tersebut.

"Saya masuk sekolah Melayu, suasana kerja pun dengan orang Melayu dan kawan-kawan saya pun majoritinya orang Melayu," katanya.

Berkenaan majlis perkahwinannya yang dianjurkan oleh Yaksas Enterprise pada 29 Februari lalu di Kompleks LPPKN, Kepala Batas, Pulau Pinang, Remaathi memberitahu ramai tetamu yang hadir berasa terkejut.

"Kawan-kawan saya yang berbangsa India sampai patah balik ingatkan salah datang kenduri kahwin.

"Kawan-kawan Melayu saya pula rasa terkejut apabila datang ke majlis saya kerana hampir keseluruhan majlis kelihatan seperti perkahwinan orang Melayu.

"Makanan pun Melayu... antaranya beriani ayam, dalca, jelatah, papadom, kambing golek, sate dan teh tarik," jelas Remaathi.

Reben pada baju kebaya Remaathi diukur oleh pegawai Malaysia Book of Records, Lee Pooi Leng (tiga dari kiri). Foto: NESH Studios

Remaathi yang bekerja di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, cawangan Seberang Perai Tengah turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record (MBOR) apabila dia memakai reben gaun perkahwinan terpanjang di Malaysia yang berukuran 407.75 meter.

"Saya sudah memberitahu idea saya kepada mereka hampir setahun lalu dan mereka menyambut baik perkara tersebut. Pada hari perkahwinan saya, wakil Malaysia Book of Record datang menyerahkan sijil pengiktirafan kepada saya," katanya.

Dalam pada itu mStar juga sempat menemubual Mar Zatul Che Mohd, 31, yang merupakan tukang jahit baju pengantin untuk Remaathi dan pasangannya.

Menurut Mar Zatul, baju kebaya berwarna biru kehitaman itu mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan.

Saya masuk sekolah Melayu, suasana kerja pun dengan orang Melayu dan kawan-kawan saya pun majoritinya orang Melayu.

REMAATHI

"Saya pun pada mulanya terkejut bila dapat tahu pengantin nak reben baju pengantin terpanjang. Sebelum ini pernah juga dapat permintaan yang istimewa daripada pelanggan seperti menggabungkan baju kebaya dengan cheongsam.

"Untuk menghasilkan reben pula, kami sambungkan 400 gulung reben yang setiap satunya berukuran 1.75 meter," ujar Mar Zatul.

Pemilik Mirza Bridal, Mar Zatul Che Mohd (paling kiri) bergambar bersama staf dan Remaathi pada hari persandingan. Foto: Mar Zatul Che Mohd

Posting yang mendapat 5,700 tanda suka dan 204 perkongsian itu mendapat reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya memuji Remaathi dan suaminya.

"Wah, walaupun kaum berbeza tapi cantik awak berdua berbusana songket Melayu," ujar salah seorang pengguna Facebook.

"Very nice, ini satu-satunya cara kita mengeratkan silaturahim antara kaum," komen pengguna lain.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kahwin, pengantin, India, Melayu, songket, MBOR

Artikel Lain