Mini me bertemu! Naura akhirnya jumpa Neelofa, bapa tak tolak jika ada tawaran berlakon, iklan - “Saya pun kerja kilang saja”

Naura akhirnya bertemu Neelofa dalam program MeleTop pada Selasa.

DENGAN kuasa viral, impian Che Naura Auni Che Fahdlullah akhirnya menjadi nyata.

Kanak-kanak berusia lima tahun itu mencuri perhatian ramai gara-gara memiliki wajah iras pelakon, pengacara dan usahawan, Neelofa.

Setelah menjadi perbualan netizen sejak minggu lalu, dia akhirnya dibawa bertemu selebriti itu menerusi rancangan bual bicara MeleTop di saluran Astro Ria dengan ditemani bapanya Che Fahdlullah Che Mezam, pada Selasa malam.

ARTIKEL BERKAITAN: “OMG mini me!” - Neelofa pun teruja, budak 5 tahun dress up tiru gaya idola

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak Jadi Macam Kak Neelofa”

Bercakap kepada mStar, Che Fahdlullah yang berusia 32 tahun mengakui sukar percaya impian anaknya akhirnya menjadi kenyataan.

"Sebelum ni dia selalu cakap nak jumpa Neelofa, nak beraya di rumah Neelofa. Bila dapat jemputan ni, saya anggap ia rezeki, sebab dah selalu disebut oleh Naura.

"Dia memang gembira. Masa dalam kereta lepas balik dari program tu, dia cakap seronok dapat jumpa Neelofa. Sampai rumah pun dia bercerita hal sama pada sepupu-sepupunya," ujar Che Fahdlullah.

Posting di Instagram Neelofa mengenai pertemuannya dengan Naura.

Bersyukur dengan peluang itu, Che Fahdullah juga tidak menolak seandainya penularan kisah wajah Naura mirip selebriti itu membawa rezeki buat anaknya.

Ujar bapa kepada dua cahaya mata itu, dia terbuka seandainya ada pihak yang mahu memberi tawaran kepada anaknya dalam bidang seni.

"Saya pun bukan kerja bagus, kerja kilang sahaja. Kalau ada orang bagi tawaran berlakon, jadi model atau iklan, saya tak tolak.

Mula-mula saya macam tak percaya. Nak mengaku nanti orang cakap perasan. 

CHE FAHDULULLAH CHE MEZAM

BAPA CHE NAURA AUNI

"Tapi janganlah sampai ia menjejaskan Naura, sebab dia masih kecil. Tapi saya anggap rezeki, untuk simpanan masa depan dia juga," katanya.

Dalam pada itu, Naura baru sahaja menerima kehadiran ahli keluarga baharu apabila ibunya, Nor Asikin Nordin, 31, melahirkan cahaya mata kedua pada 5 November lalu.

Kata Che Fahdlullah, isterinya masih lagi berpantang di Kelantan bersama bayi lelaki yang dinamakan Che Wafi Habibullah.

Sebahagian sedutan program MeleTop pada Selasa malam.

"Naura dengan baby nampak OK. Dia tak cemburu. Kalau minta tolong jaga adik pun dia buat.

"Cuma sekarang susah nak biasakan panggil dia kakak. Selama ni kami panggil Naura dengan nama adik," katanya lagi.

Bercerita lanjut mengenai wajah anaknya yang menyerupai Neelofa, Fahdlullah mengakui sukar percaya akan hal itu pada mulanya.

Posting tular melibatkan Naura di Twitter yang mendapat perhatian Neelofa pada minggu lalu.

"Mula-mula saya macam tak percaya. Nak mengaku nanti orang cakap perasan. Jadi saya post macam biasa di Facebook.

"Lepas tu ramai kawan-kawan komen kata macam Neelofa," ujarnya.

Selain muncul di program MeleTop, Neelofa turut memuat naik foto pertemuannya dengan Naura menerusi laman Instagram.

Che Fahdlullah turut hadir dalam program itu pada malam Selasa.

"Mini Me! Mereka akhirnya jumpa pengacara baharu untuk MeleTop," tulis Neelofa menerusi kapsyen posting tersebut.

Sehingga kini, posting berkenaan menerima hampir setengah juta tanda suka di laman sosial itu.

Menerusi laporan mStar pada Khamis lalu, persamaan wajah Naura dan Neelofa menjadi tular setelah ia dikongsi sepupunya, Maisarah Zamri di Twitter.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain