suria

“Nak Jadi Macam Kak Neelofa”

Nur Iman Safiyah Mohammad Shahree.

PETALING JAYA: Seorang pelajar menarik perhatian netizen apabila mengusahakan perniagaan tudung sekolah, malah lebih mengujakan apabila anak manis ini mempunyai jenama sendiri.

Lojiknya, bagi produk tudung sekolah tentunya kebanyakan pelanggan dalam kalangan pelajar dan rakan sebaya sehingga golongan ibu bapa yang membeli untuk anak-anak mereka.

Walaupun usianya baru mencapai 14 tahun pada Jun ini tetapi semangatnya untuk menceburi bidang perniagaan mengalahkan orang dewasa. 

Walaupun masih di bangku sekolah, Nur Iman mempunyai jenama tudung sendiri.

Nur Iman Safiyah Mohammad Shahree berkata, dia mula berjinak-jinak dalam perniagaan semasa di sekolah rendah pada 2015 dengan menjual permainan ‘soft toy’.

Hasil jualan itu, anak bongsu daripada empat beradik ini berkata, ia disimpan sebagai modal untuk mengusahakan bisnes tudung secara dalam talian sejak setahun lalu.

“Kebanyakan tudung sukar dibentuk dan jenis kain pula lebih panas, ia sekali gus memberi idea kepada saya untuk menjual tudung yang lebih selesa.

“Memang saya usahakan sendiri bisnes tudung ni. Ibu bapa saya bukan ahli perniagaan tetapi mereka memberikan sokongan,” katanya kepada mStar Online.

Repost Tutorial TSIS ?

A post shared by Empire Iman Safiyah ? (@empire.imansafiyah) on

Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Bestari, Shah Alam ini berkata, tiada masalah baginya membahagikan masa antara pelajaran dan bisnes.

“Pada masa ini, saya bersekolah sesi petang. Saya mempunyai masa untuk memeriksa tempahan dan pertanyaan mengenai tudung pada sebelah malam.

“Kalau ada kerja sekolah, saya akan buat  dan kemudian disambung pada sebelah pagi. Saya juga ada masa untuk mengulang kaji pelajaran,” katanya sambil menambah bahawa urusan penghantaran melalui pos dibantu ibunya.

Nur Iman mahu membuktikan kemampuannya mengusahakan perniagaan.

Bercita-cita untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya pada masa depan, Nur Iman melihat pelakon dan pengacara, Neelofa sebagai sumber inspirasinya.

“Kak Neelofa bukan sahaja cantik dan berbakat, tetapi beliau juga berjaya dalam perniagaan tudungnya. Saya nak jadi macam Kak Neelofa, mencontohi kejayaan dia,” katanya yang turut berharap dapat bertemu dengan idolanya itu suatu hari nanti.

Walaupun jualan mendapat sambutan sehingga mencecah 500 tudung sebulan, tetapi Nur Iman mengakui ada pihak yang tidak yakin dengan kemampuannya.

Neelofa merupakan idola Nur Iman untuk berjaya dalam perniagaan.

Namun pelajar yang menyukai subjek Bahasa Inggeris ini tidak melihat tanggapan itu sebagai halangan untuk terus berusaha malah memberi semangat untuk lebih berjaya.

“Saya tahu saya masih muda tetapi saya tidak akan mengabaikan pelajaran dan pada masa sama mahu membuktikan saya juga boleh berjaya dalam perniagaan,” katanya.

Pada masa ini, Nur Iman menjual tiga jenis tudung iaitu ‘shawl’ (selendang), tudung bawal dan tudung sekolah, malah merancang untuk mempelbagaikan lebih banyak jenis tudung pada masa akan datang.

“Ketika ini tudung sekolah yang dijual hanya berbentuk tiga segi. Saya mahu mengeluarkan tudung sekolah jenama sendiri bagi jenis labuh khususnya untuk pelajar sekolah agama dan tudung sekolah pelbagai warna untuk pengawas,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain