suria

“Saya tak berani nak bau perfume tu...” - Abang maut kemalangan dengan treler tinggal pesanan terakhir untuk adik

Kenangan... Nurhusna bersama abang tersayang, Allahyarham Muhammad Luqman Hakim. Foto Nurhusna Afifah Mosyazid

RINDU yang tidak berkesudahan buat seorang adik terhadap pemergian abang tersayang, yang maut kemalangan jalan raya pada Ahad malam.

Perkongsian paparan mesej aplikasi WhatsApp tanpa berbalas itu dimuatnaik di laman Twitter mengundang sebak dalam kalangan warganet kerana mempunyai maksud tersirat.

Remaja berkenaan, Nurhusna Afifah Mosyazid, amat rapat dengan allahyarham Muhammad Luqman Hakim Mosyazid, 19, yang merupakan anak sulung dan gadis itu pula merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik.

ARTIKEL BERKAITAN: "Abah... Faris rindu sangat-sangat", remaja ini tak sangka kejutan surat tulisan tangan rupanya satu petanda

ARTIKEL BERKAITAN: Macam kembar hilang adik, sahabat dilanggar lori depan mata... Dia sempat pesan, “kalau aku tak ada tolong tengokkan mak ayah”

Mengenai mesej WhatsApp yang dihantar kepada abangnya selepas kejadian itu, gadis berusia 16 tahun itu memberitahu, pemergian abangnya merupakan satu kejutan.

Mesej yang dihantar Nurhusna kepada abangnya selepas insiden kemalangan.

“Saya mahu hantar mesej kat dia untuk beri semangat. Tapi, masa tu saya tak tahu telefon dia entah kat mana masa kejadian. 

“Apabila hantar mesej macam tu, baru saya sedar masa tu dia dah meninggal dunia. Saya cuba terima hakikat, tapi masih tak percaya kehilangan dia,” katanya kepada mStar.

Muhammad Luqman Hakim merupakan salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 204.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Alor Gajah, Melaka pada Ahad malam. 

Dalam kejadian pukul 7.57 malam, mangsa dalam perjalanan dari Johor menghala ke Kuala Lumpur sebelum dirempuh sebuah treler yang masuk ke laluan bertentangan.

Kereta Myvi yang dinaiki Muhammad Luqman Hakim terbabit dalam kemalangan.

Menyifatkan arwah abang seorang yang baik dan penyayang, Nurhusna turut memberitahu mereka juga sering menjadi bahan gurauan abang.

“Arwah abang tak garang, tapi tegas... yang pasti dia cukup mengambil berat terhadap kami adik-beradik. Saya pernah kena marah dengan dia sebab naik Grab seorang diri jauh-jauh. 

“Dia cakap kenapa tak minta dia hantarkan, dia risaukan keselamatan saya. Sifat penyayang dia membuatkan saya dan adik-beradik lain masih bersedih,” katanya.

Allahyarham Muhammad Luqman Hakim disifatkan seorang yang begitu penyayang dan mengambil berat terhadap adik-adiknya.

Nurhusna yang menetap di Skudai, Johor berkata, abangnya seorang yang tidak gemar bergambar mahupun mengambil gambar orang lain.

“Kalau disuruh ambil gambar, ada je alasan dia. Tapi bulan lepas, masa kami sekeluarga berkunjung ke Cameron Highlands, dia asyik ambil gambar saya tanpa disuruh.

Dulu satu rumah kuat bau perfume dia, sekarang ni tak ada lagi. Perfume dia masih ada lagi dalam bilik. Tapi saya tak berani nak bau perfume tu... takut nanti perasaan terbawa-bawa kerana terlalu rindukan dia.

NURHUSNA

“Bukan setakat tu, dia ada juga puji kek batik yang saya buat, dia kata manis. Tapi dia kata air Milo ais saya tawar sebab saya jarang senyum. Abang saya ni memang suka senyum,” katanya.

Namun, dia mendedahkan menerima pesanan daripada abangnya sehari sebelum bertolak ke Kajang, Selangor untuk menjalani latihan amali dalam bidang kejururawatan.

Pemergian Allahyarham Muhammad Luqman Hakim dirindu keluarganya.

“Dia ada berpesan kepada saya supaya jaga ummi (panggilan ibu) dan ayah semasa ketiadaan dia. Sebab memang itu pesanan dia bila dia nak balik ke Kajang. 

“Tak sangka itu mesej terakhir dia. Dan dia siap peluk adik lelaki yang berusia empat tahun dua kali sebelum masuk ke kereta,” ujarnya dengan nada sebak.

Mengakui begitu rindu pada abangnya, paling dirasai Nurhusna adalah bau wangian kepunyaan arwah pada waktu pagi di rumah.

“Dulu satu rumah kuat bau perfume dia, sekarang ni tak ada lagi. Perfume dia masih ada lagi dalam bilik, dia tak bawa balik ke Kajang. Tapi saya tak berani nak bau perfume tu... takut nanti perasaan terbawa-bawa kerana terlalu rindukan dia,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
maut, kemalangan, WhatsApp, perfume

Artikel Lain