suria

1 dalam 80 juta! Rakan sebilik terkejut tengok sisi lembut ‘bro askar’ gigih siapkan bunga origami untuk GF - “Ingatkan tengah buat assignment...”

Muhammad Hisyam menunjukkan kreativitinya membuat jambangan bunga origami sebagai hadiah konvokesyen untuk teman istimewa. Foto ihsan Ameeroul Aizzuwan Khairul Anuar

KEJUTAN demi kejutan dilakukan sempena musim konvokesyen yang berlangsung ketika ini, termasuklah memberikan hadiah kepada graduan yang seolah-olah sudah jadi tradisi.

Habis semua idea kreatif diperah, itu belum lagi keringat yang terpaksa dikorbankan bagi memastikan pemberian yang dilakukan amat bermakna.

Begitulah yang berlaku kepada sekumpulan pelajar lelaki yang menyedari seorang rakan mereka bertungkus-lumus menyiapkan sejambak bunga origami untuk teman istimewa sebagai hadiah pada majlis konvokesyen.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tanya nak bunga masa konvo, pemuda ini kata datang pun dah cukup, “Tengok abah depan mata, terubat kerinduan pada arwah mak”

ARTIKEL BERKAITAN: “Kawan tukang jerit, saya tukang tutup” - Tetamu, pintu uji kesabaran, dua rakan sebilik guna botol selesai masalah

Sweetnya... usaha-usaha yang dia buat sangat mahal. Satu dalam 80 juta... ini yang dikatakan boyfriend of the year,” menurut seorang rakan yang kagum dengan pengorbanan pemuda itu menerusi video yang tular di media sosial.

Perkongsian Ameeroul di laman sosial mengenai rakan sebiliknya.

Individu yang merakam dan memuatnaik klip video berdurasi 45 saat itu, Ameeroul Aizzuwan Khairul Anuar, 22, berkata, rakaman tersebut dibuat baru-baru ini selepas pulang dari makan malam bersama rakan sebilik yang lain.

Ameeroul pada mulanya menyangka, Muhammad Hisyam Harmizon, juga 22 tahun, tidak makan bersama kerana sibuk menyiapkan tugasan kuliah.

“Hisyam tak join dinner. Masa masuk bilik tu ingatkan Hisyam tengah buat assignment, rupa-rupanya dia tengah buat origami bunga ros... banyak. 

“Bunga tu dia buat untuk teman istimewa sebagai hadiah hari graduasi. Kami terkejut sebab tak sangka dia ada sisi lain macam tu dan patut diberi kredit di atas usaha tersebut,” katanya kepada mStar, sambil menambah mereka merupakan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, Johor.

Persiapan untuk membuat hadiah konvokesyen.

Mengulas lanjut, Ameeroul berkata Hisyam sebenarnya seorang yang kental, malah dipanggil ‘askar’ dalam kalangan rakan-rakan sebilik kerana merupakan bekas pelajar di Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kuala Lumpur.

“Dia ni memang keras, kami panggil dia ‘askar’ jadi bila tengok dia buat bunga tu, kami rasa ada juga sisi ‘lembut’ dia... dan kami sokonglah apa yang dia buat.

“Video yang kami buat tu bukanlah nak jadikan bahan atau ejek dia, tapi kagum sebab tak semua orang boleh hasilkan idea kreatif macam tu,” ujar Ameeroul yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam.

Sebanyak 24 kuntum bunga ros origami hasil kreativiti Muhammad Hisyam.

Sementara itu, Muhammad Hisyam memberitahu, dia mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan gubahan 24 kuntum bunga origami yang dipelajari menerusi laman Youtube.

“Saya tak beli sebab saya nak buat benda tu sebagai sesuatu yang istimewa. Saya nak ada sentimental dekat sesuatu benda yang saya hadiahkan. 

Kenapa saya tak beli je sebab saya nak buat benda tu sebagai sesuatu yang istimewa. Saya nak ada sentimental dekat sesuatu benda yang saya hadiahkan

MUHAMMAD HISYAM

“Tapi kalau nak ikut ciri-ciri yang saya nyatakan tu memang benda yang mahal. Tapi, saya pelajar kan, jadi faham-fahamlah kewangan pelajar macam mana.

“Daripada situ, saya hasilkan sesuatu sendiri. Saya bukanlah seorang yang kreatif tapi minat tengok benda-benda berseni kat Youtube,” ujarnya yang berasal dari Gombak, Selangor.

Muhammad Hisyam (tiga, kanan) dan Ameeroul (kiri) bersama rakan-rakan mereka.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik itu berkata, hadiah jambangan bungan yang dihasilkannya itu jauh lebih murah berbanding dengan ciri-ciri yang dikehendakinya.

“Paling mencabar nak gabung semua sekali 24 kuntum bunga tu, sebab kertas tu tak berapa keras, jadi mudah terlipat. Nak gabung kesemua tu yang mengambil lebih masa,” katanya.

Mengenai usahanya dianggap segelintir warganet sebagai pengorbanan yang tidak berbaloi untuk sekadar teman istimewa di universiti, Muhammad Hisyam menyangkal kritikan itu.

“Bagi saya, apa yang saya lakukan tu sangat berbaloi, sebab buat benda yang saya suka. Jadi, tak ada masalah pun bagi saya mereka nak kata apa,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain