suria

Pelanggan ini dedah kenapa sanggup balik, kemudian datang semula semata-mata nak beli minuman di gerai air balang tumpah

(gambar kiri) Muhammad Shaiful (kanan) bersama peniaga yang mengalami insiden balang air terjatuh, Samrah Abdul Gani. Foto Muhammad Shaiful (Gambar kanan) Limpahan air akibat balang terjatuh di gerai Samrah. Foto FB Shida Cda

HAMPIR seminggu berlalu, tetapi tragedi bazar Ramadan yang menyaksikan balang-balang minuman terjatuh, sehingga bahagian depan gerai ‘banjir’ dengan takungan air berwarni-warni masih berbekas.

Tidak patah semangat, peniaga malang itu meneruskan operasinya pada hari kejadian, dengan kerjasama suami dan peniaga-peniaga lain.

Pelanggan juga sanggup menunggu dan datang semula ke gerai berkenaan, tetapi siapa sangka ada seorang antara mereka turut mempunyai kisah tragis di sebalik insiden tular itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi bazar! Apa yang pelanggan lakukan buat peniaga air balang terharu, “Yang patahnya meja, tapi semangat saya tak patah”


Takungan air berwarni-warni dalam insiden di bazar Ramadan di Subang, Selangor pada minggu lalu.

Pelanggan berkenaan, Muhammad Shaiful Jamal Jaafar berkata, pada hari kejadian iaitu 2 Ramadan, kunjungannya ke gerai itu masuk kali kedua.

Pemuda berusia 24 tahun itu memberitahu, ketika sampai di bazar Ramadan di Subang, Selangor pada kira-kira pukul 5.30 petang, dia hanya nampak balang-balang kosong.

“Saya nampak semua balang kosong, hanya tinggal satu daripada lapan balang yang berisi air. Jalan tar depan gerai pun sudah dilap, tapi boleh nampak saki-baki air yang masih belum kering dengan melekitnya memandangkan kejadian baru berlaku.

“Bila sampai ke gerai tu, pemiliknya tak ada tapi pekerja beritahu majikannya akan datang semula untuk meneruskan operasi. Saya tunggu selama beberapa minit sebelum memutuskan untuk pulang ke rumah terlebih dahulu,” katanya kepada mStar.

Gerai air minuman di bazar Ramadan di Subang, Selangor. Foto ihsan Muhammad Shaiful

Muhammad Shaiful berkata, rumah yang disewanya bersama beberapa penghuni lain terletak berdekatan dengan gerai tersebut dengan jarak kurang lima minit menaiki motosikal.

Walaupun terdapat tiga lagi gerai air minuman di bazar itu, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mengambil keputusan untuk datang semula ke gerai tersebut apabila pemiliknya datang. 

Betul lah, ‘customer is always right’ walaupun bukan peniaga yang salah sebab bila pelanggan tu datang beli bermakna dia membantu kita mencari rezeki dan Tuhan akan murahkan rezeki kita kalau bersabar. InsyaAllah.

MUHAMMAD SHAIFUL

“Saya sebenarnya pernah mengusahakan gerai air minuman di bazar Ramadan juga, tahun lalu. Jadi, saya boleh tahu kualiti air minuman yang dijual peniaga lain.

“Bila kita dah tahu yang mana lebih berkualiti, gerai tu ada masalah pun kita harus sokong. Yang bermasalah bukan air minumannya, tapi hanya kaki mejanya yang patah,” ujar anak ketiga daripada empat adik beradik itu.

Samrah terus berniaga meskipun dilanda pengalaman pahit pada hari kedua Ramadan.

Dia yang bertugas sebagai juruteknik mendedahkan turut mengalami kisah pahit semasa berniaga di bazar Ramadan di Sungai Petani.

“Jual air minuman ni berisiko di bulan puasa. Kalau cuaca panas, kira bagus sebab orang memang nak beli air. Tapi kalau cuaca buruk seperti hujan, orang susah nak datang bazar dan mereka lebih memilih air panas sedangkan kita jual air sejuk.

“Pernah berlaku di bazar apabila sumber bekalan elektrik di gerai terganggu, menyebabkan kami tidak dapat menggunakan mesin untuk memproses air buah.

“Patutnya pukul 4 petang dah mula berniaga, tapi hampir dua jam baru OK. Masa tu hampir putus asa, tapi kami tunggu dan teruskan juga sebab kalau kami terus tutup, nanti pelanggan lari cari gerai minuman lain,” tambahnya. 

Muhammad Shaiful pernah merasai pengalaman sebagai seorang peniaga minuman di bazar Ramadan.

Muhammad Shaiful bagaimanapun berkata, pengalaman pahit yang dialaminya ketika berniaga air minuman di bazar Ramadan tidak seburuk peniaga ‘balang air jatuh’ iaitu Samrah Abdul Gani, 46.

“Bila saya datang ke gerai tengok jalan tar basah dengan kesan melekit, saya jadi sebak. Kes saya, minuman belum buat cuma jual lambat, tapi kakak (peniaga) tu balang-balang airnya terbuang macam tu saja.

“Masa tu saya rasa apa yang kakak tu alami sebagai peniaga. Betullah, ‘customer is always right’ walaupun bukan peniaga yang salah, sebab bila pelanggan tu datang beli bermakna dia membantu kita mencari rezeki dan Tuhan akan murahkan rezeki kita kalau bersabar, insyaAllah,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
bazar, bazar Ramadan, air minuman, tumpah

Artikel Lain