“Saya bukannya seorang yang rasis” - Edi Rejang - Viral | mStar

“Saya bukannya seorang yang rasis” - Edi Rejang

Mohamad Edi ketika dirakam membuat permohonan maaf secara langsung menerusi akaun Facebook Lip Eng (kiri).

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang memaki seorang promoter minuman keras telah tampil untuk menyatakan bahawa dia bukan seorang yang bersikap perkauman.

"Saya bukannya bersifat rasis kerana anak saya belajar di sekolah Cina, saya juga mempunyai kawan Cina," kata Mohamad Edi Bin Mohamad Riyars, yang dikenali sebagai Edi Rejang.

"Pada masa itu saya terlalu letih pulang daripada kerja dan berasa marah, dan saya menjadi terlalu beremosi kerana ia berkaitan dengan alkohol, saya dengan tulus ikhlas meminta maaf kepada wanita itu," katanya dalam satu video yang disiarkan di laman Facebook ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maki promoter bir mohon maaf, “Amat menyesal tindakan saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Walau dimaki, gadis promoter bir minta tidak panjangkan isu

Mohamad Edi berkata pada mulanya dia mahu membeli barangan runcit di pasar raya besar itu, sambil menambah bahawa dia melihat seorang wanita menawarkan sampel minuman keras kepada pembeli ketika dia berjalan di kawasan tersebut.

"Kerana itu adalah bahagian (jualan) yang sempit, saya melihat ramai orang berkumpul di sana, tapi tempat itu adalah bahagian tidak halal dan saya tidak selidik terlebih dahulu.

"Saya sangat marah pada masa itu, saya mengeluarkan telefon dan memutuskan untuk mengambil video wanita itu, untuk menyoalnya, mengeluarkan isyarat lucah dan berlalu pergi, "katanya.

Promoter wanita yang dikasari Mohamad Edi secara lisan ketika sedang menawarkan sampel minuman beralkohol.

Dia menambah bahawa dia tidak tahu mengapa dia bertindak dengan cara itu, sambil menjelaskan bahawa ia berlaku secara spontan.

"Saya tidak ada niat langsung untuk (bersifat) rasis, kita 1Malaysia memang saya faham... bangsa Cina, Melayu, India semua ada hak dekat situ.

"Memang salah saya, saya lalu dekat tempat itu tidak halal, tetapi saya pergi terjah tempat itu dan mengeluarkan kata-kata kesat di tempat itu," katanya.

Mohamad Edi juga berkata bahawa dia berharap dapat bertemu wanita itu secara peribadi untuk meminta maaf.

Sementara itu, Lip Eng berkata dalam video tersebut bahawa beliau tidak pasti sama ada wanita terbabit menerima permohonan maaf berkenaan, tetapi menambah bahawa beliau akan menghubungi wanita itu untuk mendapatkan pandangannya mengenai isu ini. - The Star

Edi Rejang

Artikel Lain