suria

Jangan terlalu yakin, hebat di ranjang, 'performance' terbaik bukan jaminan subur - Doktor

Tidak semua masalah tidak mendapat zuriat berpunca daripada tahap kesuburan wanita.

PETALING JAYA: Seringkali masyarakat lebih cenderung menyalahkan wanita sebagai punca utama apabila berlaku situasi pasangan sudah lama berkahwin, tapi masih belum dikurniakan zuriat.

Malah ada suami yang menjadikan alasan tersebut untuk berpoligami kerana mahukan zuriat dengan isteri kedua.

Selepas berkahwin dengan isteri kedua, masih juga tidak dikurniakan cahaya mata, memaksa si suami berkahwin lagi satu!.

Entah di mana silapnya, dengan isteri ketiga pun hasrat untuk mendapat anak tidak kesampaian, sehinggalah diperiksa,  rupa-rupanya pihak lelaki yang mempunyai masalah kesuburan.

Hakikatnya, ia adalah kisah benar pasangan berpoligami yang dikongsi Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Muhammad Izzat Abdul Razak menerusi satu posting di Twitternya yang tular baru-baru ini.

Menurut Dr Muhammad Izzat, tidak ramai menyedari bahawa golongan lelaki sebenarnya berpotensi mengalami masalah kesuburan.

"Kes masalah kesuburan memang banyak terutamanya membabitkan pihak perempuan. Dalam kes-kes yang pernah saya kendalikan, 40 peratus lelaki mengalami masalah itu manakala 60 peratus melibatkan golongan wanita. Masalah kesuburan lelaki berlaku dalam kekerapan tujuh peratus dalam kalangan lelaki.

"Peratusan itu agak tinggi dan signifikan. Jadi kedua-dua pasangan perlu melakukan pemeriksaan untuk mengenal pasti punca sebenar kepada masalah yang melanda mereka," katanya kepada mStar Online.

Dr Muhammad Izzat berkongsi kisah masalah kesuburan melibatkan salah seorang pesakitnya.

Beliau berkata, sikap ego yang ada pada diri lelaki membuatkan mereka sangat yakin bahawa masalah sukar untuk mendapatkan zuriat sebenarnya berpunca daripada wanita.

"Lelaki ni ego dia tinggi. Jadi bila jumpa doktor tu dia akan suruh siasat isteri dia terlebih dahulu.

"Dia tak nak disiasat sebab kononnya dia tahu dia memang tak ada apa-apa masalah. Ini mungkin sebab dia fikir prestasinya semasa di ranjang tak ada masalah," katanya.

Justeru, Dr Muhammad Izzat menasihati para suami supaya bersikap terbuka dan berani menerima hakikat.

"Jadi ego tu kena buang jauh-jauh. Istilah orang dulu-dulu kalau tak ada anak, pihak perempuan yang bermasalah, itu tidak relevan.

"Tidak ada bukti yang mengatakan wanita 100 peratus adalah punca kepada masalah kesuburan. Jadi konsep untuk hamil ini memerlukan benih yang baik daripada kedua-dua pasangan," katanya.

Dr Muhammad Izzat Abdul Razak.

Jelas beliau lagi, langkah terbaik bagi mengatasi masalah kesuburan adalah mendapatkan khidmat nasihat pakar, pemeriksaan dan rawatan.

"Jangan anggap ini adalah pengakhirannya. Kita ada prosedur yang menolong pasangan bermasalah seperti ini, lebih-lebih lagi lelaki yang ada masalah sperma melalui teknik pembedahan.

"Ada prosedur pembedahan pada lelaki untuk mendapatkan sperma yang bagus dari testis untuk proses persenyawaan," katanya.

Namun beliau berkata, peluang untuk pasangan bermasalah itu untuk mendapatkan zuriat bergantung kepada penilaian doktor dan keadaan pesakit.

"Tak semua berjaya. Kadang-kadang kalau kita buat pembedahan pun tak jumpa benih yang bagus pada lelaki, jadi persenyawaan tidak boleh dilakukan," katanya.

Ditanya mengenai kes membabitkan salah seorang pesakit dan tiga isterinya, Dr Muhammad Izzat berkata lelaki tersebut akhirnya sudah menimang cahaya mata.

"Dia dapatkan rawatan tahun lepas. Kita keluarkan sperma dia yang bagus untuk buat persenyawaan. Akhirnya dia dapat anak dengan isteri ketiga," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
hamil, masalah kesuburan

Artikel Lain