SERAMAI 32 penumpang sebuah bas terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dalam kejadian pada awal pagi Rabu.Kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.35 pagi di Jalan Lebuh KTC di Kulim, Kedah. Pemandu bas bagaimanapun mengalami kecederaan di kepala sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, ketika kejadian bas berkenaan membawa pelajar Kolej KHTP Skill Centre sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan."Akibat kemalangan itu, pemandu bas mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan. "Kesemua 32 pelajar yang berada di dalam bas tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.Tambah Syamsul, kesemua pelajar terbabit kemudiannya dihantar ke kolej menggunakan sebuah van dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.