Khairul Firdaus (tengah), Chan Seng Fatt (duduk, dua dari kanan), Rafidah (duduk, kanan), Josie Lai (duduk, empat dari kanan) bersama pengunjung di majlis pelancaran SKCCM Sabah.
KERJASAMA kukuh antara agensi kerajaan dan pemain industri amat penting dalam merealisasikan aspirasi pelancongan Malaysia, terutamanya ketika negara membuat persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan ketika pelancaran Karnival Star Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) pada Sabtu. "Apa yang paling penting ialah kerjasama antara kerajaan dan agensi. "Sinergi inilah yang membolehkan program seperti SKCCM dilaksanakan dengan jayanya," katanya.Beliau turut menekankan kerjasama antara Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta Star Media Group (SMG) berjaya menjayakan acara pelancongan yang memberi impak kepada rakyat Malaysia.Terdahulu, edisi SKCCM Sabah yang berlangsung selama tiga hari, bermula Jumaat lalu menandakan penutup kepada kempen jelajah nasional yang bertemakan 'Teroka, Pengalaman, Teruja'.Ia merupakan inisiatif bersama SMG dan Tourism Malaysia bagi mempromosikan pelancongan domestik serta keusahawanan berteraskan warisan.Sabah dipilih sebagai destinasi terakhir kerana potensi pelancongannya yang kukuh bagi pasaran pelancongan domestik, sama ada ketibaan mahupun perjalanan keluar."Sabah bukan sahaja dikenali dengan penduduknya yang mesra. Mereka juga mempunyai pulau-pulau yang indah, gunung-ganang yang megah serta khazanah hutan yang luar biasa."Karnival ini membuktikan komitmen kami dalam mempromosikan pelancongan tempatan," kata Khairul Firdaus sambil memaklumkan seramai 80 pempamer terlibat pada tahun ini, termasuk ejen pelancongan, pengusaha inap desa, artisan kraf dan penggiat seni budaya.Beliau turut menyentuh isu kemampuan kos yang menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pelancong."Kami menerima banyak aduan mengenai harga tiket penerbangan yang tinggi. "Oleh itu, menerusi kerjasama dengan Firefly, Malaysia Airlines dan rakan pelancongan, pakej percutian dan penerbangan akan ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik," katanya.Seiring dengan itu, tambah beliau, SKCCM turut menyaksikan pelancaran Fly Borneo Vol. 3: Surreal Experiences, iaitu kempen yang menawarkan 26 pakej pelancongan terpilih merangkumi Sabah, Sarawak dan Labuan.Jelasnya, pakej yang diberikan bersama diskaun tambang penerbangan daripada Malaysia Airlines dan Firefly itu bertujuan menjadikan destinasi tersembunyi di Borneo lebih mudah diakses oleh pelancong tempatan."Kami mahu membantu industri pelancongan memaksimumkan pulangan daripada aktiviti percutian rakyat sendiri."Pada masa sama, memberi peluang kepada rakyat menikmati percutian bernilai baik dalam negara,” tambah beliau.Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Chan Seng Fatt, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai.SKCCM dianjurkan bagi meraikan kepelbagaian budaya Malaysia, pengalaman warisan serta semangat komuniti yang menjadi bukti kejayaan kerjasama yang terjalin.