suria

Pentas finale Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia penuh warna warni

Warisan bergerak: Penari menghiburkan pengunjung dengan persembahan tarian kebudayaan sempena edisi Johor Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia.

HENTIAN terakhir Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) bakal berlangsung selama tiga hari di Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu di Sabah bermula 14 November ini.

Ia sekali gus menjadi penutup tirai jelajah nasional yang meraikan keindahan, kepelbagaian dan semangat Malaysia.

Dianjurkan dengan kerjasama antara Tourism Malaysia dan Star Media Group (SMG), karnival ini membawa tema Teroka, Pengalaman, Teruja, yang mengajak rakyat Malaysia meneroka semula 'permata' tersembunyi negara dan menghubungkan panorama, bunyi serta cita rasa istimewa yang menjadikan Malaysia unik.

Selepas kejayaan jelajah di Pahang, Lembah Klang, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor, edisi Sabah dijangka menutup acara ini dengan penuh warna warni menerusi gabungan pameran kebudayaan, tawaran pelancongan serta hiburan mesra keluarga.

Sorotan karnival

Sebagai destinasi terakhir, SKCCM Sabah akan menampilkan pelbagai acara persembahan, pameran dan aktiviti menarik yang mengetengahkan kekayaan budaya serta semangat komuniti Malaysia.

Bukan itu sahaja, lebih 80 pempamer daripada agensi pelancongan, hotel, inap desa, pengusaha pelancongan, pencipta produk tempatan dan usahawan kraf akan mengambil bahagian.

Pengunjung yang hadir berpeluang menikmati pelbagai acara menarik antaranya:

1. Persembahan kebudayaan dan tradisional yang mencerminkan warisan kepelbagaian kaum di Malaysia.

2. Pameran kulinari yang menampilkan hidangan klasik serta juadah tempatan dari seluruh negara.

3. Gerai pelancongan yang menawarkan pakej percutian dan promosi menarik untuk destinasi domestik.

4. Pasar kraftangan dan produk harian yang mengetengahkan barangan buatan tangan, inovasi tempatan dan jenama kreatif.

5. Segmen hiburan pentas serta pertandingan melibatkan permainan, cabutan bertuah dan sesi interaktif untuk semua peringkat umur.

Selain itu, acara tiga hari ini turut dimeriahkan dengan penampilan selebriti popular, penyampai radio dan pempengaruh media sosial menerusi sesi bertemu peminat.

Lebih mengasyikkan apabila tetamu istimewa ini akan berinteraksi dengan pengunjung melalui persembahan secara langsung mahupun penganjuran pelbagai aktiviti yang menyeronokkan di lokasi.

Pemerkasaan pelancongan tempatan

Di sebalik acara hiburan yang disediakan, SKCCM Sabah meneruskan misi mempromosikan pelancongan domestik dan keusahawanan tempatan.

Acara ini menyediakan platform kepada pemain industri pelancongan kecil dan sederhana, daripada pengusaha inap desa dan pemandu pelancong sehinggalah pembuat kraf dan usahawan makanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia kembali gegar Johor dengan jualan hingga tengah malam, penuh tawaran menarik!

Kesemua mereka berpeluang mempamerkan produk serta perkhidmatan kepada khalayak secara lebih menyeluruh.

Tambahan pula, dengan menghimpunkan orang ramai dan rakan industri di satu lokasi, karnival ini dapat membantu meningkatkan minat terhadap pelancongan domestik serta menggalakkan rakyat Malaysia meneroka lebih banyak destinasi dalam negara.

Apa yang menarik, pengunjung juga boleh mendapatkan tawaran dan promosi eksklusif yang memudahkan serta menjimatkan perancangan percutian seterusnya, sama ada untuk percutian santai di tanah tinggi, pengembaraan gastronomi di negeri baharu atau percutian pantai di pulau-pulau indah Malaysia.

Inisiatif ini juga selari dengan persiapan negara menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan penekanan terhadap kelestarian, penghargaan budaya dan pengalaman berasaskan komuniti.

Penutupan penuh meriah

Edisi Sabah menjadi penamat kepada SKCCM 2025, satu jelajah yang telah menarik lebih 200,000 pengunjung di seluruh negara sejak bermula pada September.

Setiap lokasi menawarkan keunikan cita rasa serantau tersendiri, daripada persembahan tradisional dan pasar artisan sehinggalah pengalaman pelancongan interaktif yang meraikan rakyat serta destinasi Malaysia.

Lokasi di Imago Mall pula menyediakan akses mudah kepada penduduk tempatan dan pelawat untuk menikmati kemeriahan, merasai pelbagai hidangan tempatan serta meneroka pelbagai produk pelancongan yang dipromosikan.

Hujung minggu ini dijangka dipenuhi suasana meriah dengan warna-warni, alunan muzik serta kehangatan layanan mesra rakyat Malaysia.

Masuk percuma

SKCCM Sabah dibuka kepada orang ramai secara percuma, menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga, pelancong mahupun pengunjung hujung minggu.

Dengan gabungan kepelbagaian budaya, hiburan dan inspirasi pelancongan, acara ini menawarkan sesuatu untuk semua sama ada mereka yang sedang merancang percutian tempatan atau sekadar ingin menikmati hujung minggu yang menyeronokkan.

Sebagai destinasi terakhir jelajah 2025, SKCCM Sabah mencerminkan semangat sebenar kempen ini dengan menghubungkan rakyat Malaysia menerusi pengalaman bersama, meraikan kepelbagaian budaya serta mengajak semua pihak melihat dan menghargai Malaysia dari perspektif baharu.

Artikel Lain