Lee (tengah) dan Wang (kanan) merasmikan Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia di Paradigm Mall Convention Centre, Johor Bahru.
SESI perniagaan ke perniagaan (B2B) yang menghubungkan ejen pelancongan Malaysia dan Singapura dilihat memberi impak positif dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari negara jiran, menurut Tourism Malaysia.Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Lee Thai Hung, berkata salah satu sesi padanan perniagaan itu diadakan bersempena Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) selama tiga hari di Paradigm Mall Convention Centre, Johor Bahru. “Acara ini berfungsi sebagai platform untuk pemain industri dari kedua-dua negara bekerjasama dan membangunkan pakej pelancongan baharu.“Kami bekerjasama dengan Kumpulan Media Star (SMG) dalam siri jelajah SKCCM bagi tujuan ini. Karnival ini sebelum ini sudah berjaya dianjurkan di Pahang, Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang sebelum tiba di selatan tanah air.“Bagi edisi Johor, kami menyediakan platform sesi B2B yang menghimpunkan pemain industri pelancongan Singapura dan Malaysia untuk menjalankan padanan perniagaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan acara itu.Menurut Lee, segmen B2B merupakan komponen penting dalam usaha mempromosikan kepelbagaian destinasi, makanan dan budaya Malaysia, lebih-lebih lagi Johor berperanan sebagai pintu masuk utama pelancong Singapura yang memasuki negara ini melalui jalan darat.“Sebelum ini, tumpuan lebih diberikan kepada promosi destinasi, namun kini kami turut mengetengahkan makanan tradisional serta ejen pelancongan tempatan bagi menonjolkan kepelbagaian Malaysia,” katanya.Dia berkata, sesi seumpama itu sudah mula menunjukkan hasil positif apabila ramai pemain industri Singapura tertarik dengan destinasi Malaysia yang kurang dikenali, bukan sahaja di Johor malah di negeri-negeri lain.“Melalui platform ini, ramai pemain industri Singapura mula mengenali destinasi baharu di luar lokasi konvensional yang mereka sedia maklum,” katanya.Mengulas persiapan Visit Malaysia 2026, Lee berkata segala perancangan berjalan lancar dengan kerjasama dan minat yang memberangsangkan daripada rakan strategik tempatan serta antarabangsa.Selepas majlis perasmian, Lee bersama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SMG, Lydia Wang, turut melawat reruai pameran, berinteraksi dengan pemain industri pelancongan serta menikmati beberapa sajian makanan dan minuman tempatan.SKCCM Johor yang berlangsung hingga hari ini dianjurkan bersama oleh Tourism Malaysia dan SMG.Acara ini bertujuan mempromosikan pelancongan domestik serta meraikan kepelbagaian budaya Malaysia menerusi pengalaman interaktif, makanan warisan, persembahan pentas dan tawaran pelancongan eksklusif.Pengunjung berpeluang meneroka kira-kira 70 reruai pameran melibatkan agensi pelancongan, hotel, resort, taman tema, tarikan pelancongan, pengusaha inap desa serta penjual produk kraf dan makanan tempatan.