suria

Restoran dan bar di Menara 3 KLCC musnah 100 peratus, punca kebakaran dalam siasatan

Keadaan restoran dan bar yang musnah dalam kebakaran awal pagi Sabtu. -Foto JBPM Kuala Lumpur

SEBUAH restoran dan bar di tingkat 57 Menara 3, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur, musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi Sbtu.

Menurut Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, Fatta M Amin, kebakaran melibatkan kemusnahan 100 peratus di kawasan berkeluasan kira-kira 40 x 40 kaki persegi.

ARTIKEL BERKAITAN: Ruang atas Menara 3 KLCC terbakar, kepulan asap hitam penuhi ruang udara

"Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 berkaitan kebakaran bangunan pada pukul 6.41 pagi, seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian. 

"Pasukan operasi daripada BBP Jalan Tun Razak dengan bantuan BBP Jalan Hang Tuah dan BBP Keramat dengan kekuatan 38 orang anggota tiba di lokasi pada pukul 6.48 pagi.

"Kebakaran melibatkan sebuah restoran dan bar di tingkat 57. Keluasan kebakaran dianggarkan 40 x 40 kaki persegi dengan peratus kebakaran adalah 100 peratus kemusnahan," ujarnya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 8.45 pagi. 

"Penilaian awal mendapati terdapat beberapa unit sprinkler head telah pecah dan sistem pancur basah berfungsi dengan baik. 

"Punca kebakaran masih dalam siasatan unit siasatan kebakaran," ujarnya sambil menambah, tiada mangsa yang terlibat dan bangunan tersebut berada dalam keadaan selamat. 

Artikel Lain