suria

Bayi 11 bulan maut di pangkuan ibu, kereta dipandu bapa rempuh lembu dalam perjalanan beli susu

Keadaan kereta selepas kemalangan melanggar lembu dalam kejadian Khamis.

TRAGEDI menyayat hati menimpa sebuah keluarga apabila bayi perempuan berusia 11 bulan maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas akibat merempuh sekumpulan lembu di Kilometer 49 Jalan Kerayong–Simpang Kepayang, Bera, Pahang pada Khamis malam.

Dalam kejadian pukul 9.40 malam itu, mangsa, Nur Adriana Amira Mohamad Norismail, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Bandar 32 akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu bapa mangsa, Mohamad Norismail Sani, 22, bersama isterinya, Nik Nur Aini Azierah Che Azeman, 21, dalam perjalanan dari arah Kepayang menuju ke Kerayong untuk membeli susu anak mereka.

"Siasatan awal mendapati ketika tiba di lokasi, sekumpulan lembu tiba-tiba keluar dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum melanggar haiwan berkenaan dan terbabas ke bahu jalan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Zulkiflee berkata, bayi malang itu berada dalam pangkuan ibunya ketika kejadian dan tidak tercampak keluar dari kenderaan.

"Dua daripada tiga lembu yang dilanggar mati di tempat kejadian manakala seekor lagi cedera," katanya.

Tambah Zulkiflee, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat pemandu yang gagal mengawal kenderaan ketika melalui kawasan berkenaan.

Pihak polis bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bera turut mengadakan operasi menangani masalah lembu dan kerbau berkeliaran di jalan raya pada malam sama.

Bagaimanapun, kejadian berlaku lebih awal sebelum operasi bermula.

Artikel Lain