KENDERAAN pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire milik ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dilaporkan terbakar dalam kejadian di Kilometer 330 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuala Terengganu, pada Isnin.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Rohaya Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.47 tengah hari mengenai kejadian.
Sebuah jentera bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh digerakkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi pemadaman api.
"Seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa berada dalam kenderaan tersebut namun kedua-duanya selamat," katanya dipetik Sinar Harian.
Menurutnya, kenderaan tersebut terbakar hampir 95 peratus dan berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar pukul 1.25 tengah hari.
Ujarnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


