SERAMAI 13 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Gerik pada awal pagi Isnin, mendapat manfaat penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Guru hina pelajar UPSI maut dalam keadaan berhutang mohon maaf, PTPTN sahkan tak perlu bayar
"Daripada 15 mangsa pelajar UPSI yang meninggal dunia dalam nahas bas di Gerik tempoh hari, 13 orang pelajar dikenalpasti sebagai peminjam PTPTN.
"Kesemua 13 pelajar tersebut mendapat manfaat penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman mereka melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN," ujar Zambry menerusi laman sosial rasminya.
Selain itu, ujar beliau, waris kesemua 13 penuntut berkenaan juga akan menerima bayaran khairat kematian berjumlah RM1,500 bagi setiap pelajar.
Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI maut selepas bas yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat Jeli-Gerik, awal pagi Isnin.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu menghala ke kampus UPSI di Tanjung Malim.


