suria

Giliran Jovian… SPRM tunggu masa panggil bantu siasatan kes rasuah Ismail Sabri

Jovian kini dilaporkan berada di Indonesia.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Datuk Jovian Mandagie bagi membantu siasatan kes rasuah bekas Perdana Menteri itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Jovian merupakan saksi yang dinamakan oleh Ismail Sabri untuk mengesahkan pengisytiharan harta yang dibuatnya pada 10 Februari lalu.  

Azam berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada usahawan tersebut yang kini telah menetap di Indonesia.

"Saya dimaklumkan kita kena pergi jumpa dia. Kita tidak boleh memaksa dia datang ke sini sekarang kerana dia adalah warganegara Indonesia dan dia berada di sana.

"Jadi kita kena dapatkan kerjasama beliau. Saya jangka dalam tempoh seminggu dua ini. Saya sudah beritahu kepada pegawai penyiasat, pengarah untuk segerakannya," katanya dalam sidang media pada Khamis.

Untuk rekod, Jovian sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan anak kepada perdana menteri kesembilan itu, Nina Sabrina, sebelum bercerai pada 2023.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri kini suspek kes rasuah dan pengubahan wang haram

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM belum puas hati, Ismail Sabri perlu kembali beri keterangan Isnin ini

Menurut Azam, siasatan ke atas Ismail Sabri dijangka dapat diselesaikan pada akhir Jun, sambil menambah, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk ke pihak pendakwa raya sekiranya wujud elemen yang membawa kepada pertuduhan.

"Sekiranya terdapat elemen-elemen yang cukup untuk beliau dituduhkan, kita akan cadangkan pertuduhan terhadap beliau," jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 3 Mac lalu, Azam dilaporkan berkata, Ismail Sabri adalah suspek dalam siasatan kes berkenaan susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas di sebuah rumah yang dijadikan 'safe house' hasil serbuan SPRM.

Artikel Lain