BELUM reda isu pelajar sekolah menengah dipukul ekoran perselisihan faham sehingga retak tulang batang hidung, tular video lain menunjukkan kes hampir sama dipercayai dilakukan oleh individu sama.
Kejadian dipercayai berlaku di kawasan perumahan di Kajang, Selangor pada tahun lalu.
Rakaman video tersebut dimuat naik di laman sosial aktivitis dan penyanyi Caprice pada Jumaat malam.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah, menunjukkan seorang lelaki didakwa memukul dua budak di luar kediaman jiran.
Kejadian berlaku di sebuah kawasan perumahan.
Dalam rakaman itu, seorang lelaki berbaju merah dilihat menampar dua budak lelaki.
Bagaimanapun, tidak dijelaskan punca sebenar kejadian berlaku.
ARTIKEL BERKAITAN: Sampai patah tulang hidung! Pelajar berlumuran darah ditumbuk lelaki berjubah putih
Sementara itu, menerusi hantaran berasingan di Instagram Caprice, lelaki yang didakwa memukul pelajar sekolah menengah dalam kejadian Saujana Impian, Kajang itu mendakwa insiden berlaku disebabkan pelajar tersebut memandu secara berbahaya.
"Saya tahu kesalahan saya tampar dia dua kali. Bukan tumbuk, saya tampar. Cuma saya dari luar dan dia tak keluar kereta. Tamparan saya tak kena pipi tapi kena hidung.
"Tapi, kemarahan saya bersebab kerana budak ini memandu secara melulu dan sangat berbahaya buat saya dan anak-anak dalam kereta," dakwanya yang juga seorang penasihat agensi pelancongan.
Penjelasan itu dibuat menerusi mesej secara langsung (DM) kepada Caprice susulan video rakaman kejadian tular, dan mendakwa sudah menyerahkan diri kepada pihak polis untuk membantu siasatan.
Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang pelajar sekolah menengah dalam keadaan berlumuran darah pada bahagian hidung gara-gara didakwa ditumbuk seorang pemandu kerana berselisih faham ketika di atas jalan raya.
Susulan itu, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan pada Jumaat malam bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, mangsa yang berusia 17 tahun tampil membuat laporan pada pukul 9.24 malam.
"Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan selisih faham antara kedua mereka. Mangsa mengalami kecederaan retak tulang batang hidung akibat dipukul dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
"Pemeriksaan juga mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu dan dikenakan saman trafik," katanya dalam kenyataan Jumaat malam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.