suria

Pengerusi surau direman sehari cederakan pelajar sampai retak tulang hidung

Seorang pelajar cedera dipukul seorang pemandu lelaki dalam kejadian pada petang Jumaat.

SEORANG pengerusi surau direman sehari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencederakan seorang pelajar sekolah menengah dalam insiden perselisihan faham di Saujana Impian, Kajang, pada Jumaat.

Reman terhadap lelaki berusia 39 tahun itu disahkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan seramai enam individu sudah dirakam keterangan berhubung kes itu setakat ini.

"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang memandu di jalan raya.

"Suspek direman sehari pada Sabtu untuk siasatan," katanya pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi video pukul budak tersebar... Caprice kongsi aksi individu mirip pelaku kes tumbuk pelajar sampai patah tulang hidung

ARTIKEL BERKAITAN: Sampai patah tulang hidung! Pelajar berlumuran darah ditumbuk lelaki berjubah putih

Tambah Naazron, kes itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Beliau turut memberitahu hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang pelajar sekolah menengah dalam keadaan berlumuran darah pada bahagian hidung gara-gara dipercayai ditumbuk seorang pemandu kerana berselisih faham ketika di jalan raya.

Susulan itu, suspek ditahan pada Jumaat malam bagi membantu siasatan.

Mangsa yang berusia 17 tahun tampil membuat laporan pada pukul 9.24 malam Jumaat.

"Mangsa mengalami kecederaan retak tulang hidung akibat dipukul dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

"Pemeriksaan juga mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu dan dikenakan saman trafik," katanya dalam kenyataan Jumaat malam.

Artikel Lain