SEPANJANG 12 tahun beroperasi di Malaysia, perkhidmatan atas permintaan, Grab telah memberi sumbangan yang ketara serta manfaat ekonomi kepada pelbagai komuniti di seluruh negara.
Pada 2023, Grab, termasuk perkhidmatan e-panggilan dan penghantarannya menyumbang sebanyak RM9.9 bilion kepada ekonomi Malaysia, bersamaan kira-kira 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, berdasarkan laporan terkini oleh firma perunding ekonomi tempatan, EconWorks.
Pengarah Urusan EconWorks, Dr Wan Khatina Nawawi berkata, Grab sebagai sebuah platform teknologi telah menyediakan peluang pendapatan fleksibel untuk rakyat Malaysia dan membantu pertumbuhan perniagaan kecil.
"Bagi setiap RM1 yang dijana melalui transaksi Grab, RM1.50 aktiviti ekonomi tambahan dicipta merentasi ekonomi yang lebih luas.
"Ini menggariskan impak positif ekosistem Grab terhadap jutaan rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian mereka," katanya.
Laporan bagi mengukur impak operasi Grab ini juga menyoroti beberapa penemuan utama:
Sepanjang 12 tahun beroperasi, Grab menyediakan peluang pendapatan kepada isi rumah rakyat Malaysia sehingga RM3.7 bilion. -Gambar hiasan
) Grab menyumbang RM9.9 bilion kepada ekonomi Malaysia pada 2023.
- Bagi setiap RM1 yang dijana oleh Grab dan rakan kongsi, RM1.50 lagi dijana untuk ekonomi negara melalui kesan pengganda.
- Sebanyak 88 peratus daripada nilai tambah ini datang daripada rakan-pemandu dan rakan-niaga Grab di seluruh perkhidmatan platform ini.
- Pada 2023, rakan-pemandu menyumbang RM4.6 bilion kepada ekonomi, iaitu 0.25 peratus daripada KDNK Malaysia.
2) Grab turut menyokong sehingga 277,237 peluang pendapatan.
- Menyediakan aliran pendapatan untuk rakan-pemandu, rakan-niaga, dan pekerja-pekerja dalam rantaian bekalan menyeluruh mereka.
- Ini bermakna satu daripada 64 individu dalam tenaga kerja Malaysia mendapat manfaat, secara langsung atau tidak langsung, daripada aktiviti berkaitan Grab.
3) Peluang pendapatan yang disediakan oleh Grab telah menambah RM3.7 bilion kepada pendapatan isi rumah rakyat Malaysia.
- Peningkatan pendapatan oleh rakan-pemandu dan rakan-niaga ini bermakna lebih banyak wang dalam poket rakyat Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar (tengah), Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo (kiri) dan Wan Khatina menunjukkan laporan mengenai sumbangan Grab kepada ekonomi Malaysia.
Tambah Wan Khatina, laporan ini memaparkan bagaimana persekitaran perniagaan yang menyokong ekonomi digital membantu syarikat seperti Grab untuk berkembang, seterusnya menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
"Dengan mengukur sumbangan ini, kajian ini memberikan pandangan menyeluruh tentang bagaimana Grab dan pihak berkepentingan berinteraksi dengan ekonomi Malaysia yang lebih luas dan mempermudahkan pertumbuhan ekonomi," ujarnya lagi.