SEORANG wanita berusia 38 tahun diarah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membayar ganti rugi mencecah RM200,000 kepada seorang suri rumah kerana merosakkan rumah tangganya yang menjangkau usia 50 tahun dengan menjadi perempuan simpanan.
Hakim Envrol Mariette Peters turut memerintahkan suami berusia 74 tahun yang dikenali sebagai PAI untuk membayar nafkah sebanyak RM205,000 secara sekali gus kepada isterinya, yang dikenali sebagai HAI yang berumur 72 tahun.
Hakim memerintahkan responden iaitu PAI membayar nafkah sebanyak RM205,000 kepada bekas isteri berserta kos guaman RM50,000.
Perempuan simpanan PAI selaku ko-responden yang dikenali sebagai KAI turut diperintahkan membayar RM200,000 sebagai pampasan kepada HAI kerana menjadi punca perzinaan bersekali RM50,000 sebagai kos guaman.
Perintah itu dibuat selepas hakim memutuskan lelaki berkenaan melakukan perzinaan meskipun dia menafikan berlaku curang dengan wanita lain, termasuk mendakwa dirinya mati pucuk, lapor Berita Harian.
Mahkamah tidak menerima alasan itu selepas mendapati responden gagal mengemukakan bukti perubatan seperti laporan doktor atau rekod rawatan yang menyokong dakwaannya.
Selain membayar nafkah, Peters turut mengarahkan aset perkahwinan pasangan itu dibahagikan sama rata termasuk hartanah, simpanan emas dan pegangan saham dalam syarikat.
Ia selepas responden gagal membuktikan aset tertentu adalah harta pusaka peribadinya dan oleh itu, aset itu diputuskan termasuk sebagai harta sepencarian.
Mahkamah juga menolak sebarang dakwaan bahawa terdapat perjanjian perkahwinan yang mengecualikan petisyen daripada menuntut bahagian hartanya.
Justeru, hakim mempertimbangkan pendekatan keadilan untuk memastikan hak isteri yang sanggup mengorbankan kerjayanya demi memastikan keluarga tidak terabai.
Selain itu, PAI dan perempuan simpanan itu juga diperintahkan untuk membayar sejumlah RM100,000 sebagai kos tambahan kepada HAI.
Peters berkata, walaupun bukti dikemukakan adalah bukti keadaan (circumstantial evidence), ia menggambarkan naratif yang kuat dan koheren mengenai hubungan perzinaan di antara PAI dan perempuan simpanannya.
Beliau berkata, terdapat keterangan si suami bahawa KAI pernah bermalam di kediamannya di Kampar dan kedua-duanya pernah berkongsi bilik hotel di Singapura walaupun mereka mendakwa masing-masing tidur di katil berasingan.
KAI juga mengaku lelaki terbabit pernah bermalam di kondominiumnya, namun ia cuma berkaitan dengan sesi meditasi.
Tambahan pula, terdapat komunikasi antara mereka berdua mengenai rawatan kesuburan (IVF) menunjukkan mereka merancang untuk mendapatkan anak.
Berdasarkan bukti dan alasan dikemukakan, Peters menolak pembelaan PAI kononnya dia tidak mampu melakukan hubungan seksual.
Selain PAI gagal mengemukakan keterangan sokongan seperti laporan perubatan, testimoni pakar atau sebarang dokumen mengesahkan dakwaan mati pucuk.
"Sepanjang perbicaraan, dia mendakwa masalah mati pucuknya menyebabkan tiada lagi hubungan seksual dengan isterinya dan dia tidak mungkin terbabit dalam hubungan perzinaan dengan perempuan simpanannya," katanya dalam penghakiman.
Mahkamah mendapati PAI dan perempuan simpanannya bersekedudukan dan terbabit perzinaan yang akhirnya menyebabkan keretakan rumah tangga dengan isterinya.
Hakim menegaskan ia turut mengundang implikasi terhadap emosi HAI sehingga menyebabkan wanita itu mengalami trauma mental.
HAI setia dengan hubungan berumah tangga mereka sejak Oktober 1977.
Wanita itu turut mengakui terkejut dan marah apabila suaminya sendiri mengaku pada 1 September 2022 ada menemui seseorang yang ingin dijadikan pasangan hidup dan penjaga ketika usia tua.
Susulan tu, HAI segera menuntut perceraian, menunjukkan betapa dia berasa sangat dikhianati dan tidak dapat menerima tindakan suaminya sehingga mengalami penderitaan.
Sepanjang perkahwinan, HAI sanggup mengorbankan kerjaya untuk bergelar suri rumah sepenuh masa semata-mata mahu menjaga suami dan anak-anak mereka.
Malah, ketika suaminya bekerja di Brunei antara 1991 hingga 1998, HAI memikul tanggungjawab penuh menguruskan rumah tangga dan membesarkan enam anak mereka.
Sebagau isteri, HAI menjaga dan memberi sepenuh komitmen sepanjang perkahwinan, suaminya mengkhianati kepercayaannya dengan menjalinkan hubungan sulit dengan KAI.
Pada 14 Oktober 2022, HAI memfailkan permohonan cerai secara rasmi selepas mendapat tahu mengenai hubungan sulit suaminya.