suria

Rayuan ringan hukuman ditolak... Bapa durjana rogol anak sampai hamil dipenjara 20 tahun dan 5 sebatan!

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan (Akta 574).

SEORANG lelaki dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan lima kali sebatan selepas mengaku bersalah merogol anak perempuannya sehingga melahirkan dua anak.

Tertuduh tidak menyuarakan sebarang bantahan ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Kamil Nizam pada Rabu.

"Walaupun anda mengaku bersalah, mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi.

"Sebagai seorang ayah, anda sepatutnya menjaga anak tetapi sebaliknya anda menyebabkan kesengsaraan dan trauma kepadanya.

“Mahkamah juga mengambil maklum Parlimen sudah meminda undang-undang untuk memperuntukkan hukuman yang lebih berat bagi jenayah sedemikin," kata hakim Mohamad Kamil.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan pada November 2022.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan tahun jadi pemuas nafsu bapa sampai lahirkan 2 anak! Ibu tutup mulut, buat-buat tak tahu

Dia didakwa di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk sumbang mahram yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Hakim Mohamad Kamil berkata mahkamah turut mengambil maklum mangsa hanya membuat aduan selepas ibu bapanya ditahan atas kes dadah.

Timbalan pendakwa raya M. Kalaivaanan meminta mahkamah mengenakan hukuman pencegahan kerana tertuduh merogol mangsa berulang kali sehingga melahirkan anak tidak sah taraf pada Ogos tahun lalu.

Untuk rekod tertuduh merogol mangsa sejak dia berumur 12 tahun.

“Walaupun tertuduh mengaku bersalah, ini tidak sepatutnya dijadikan sebab untuk tertuduh diringankan hukuman.

“Saya mewajibkan mahkamah menjatuhkan hukuman berat daripada segi pemenjaraan dan sebat untuk menghantar mesej jelas kepada masyarakat bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan sumbang mahram seperti ini,” katanya.

Tertuduh merayu hukuman ringan kerana dia mempunyai empat orang anak dan isterinya menghidap penyakit kencing manis serta jantung.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh dan isteri berusia 45 tahun didakwa atas pertuduhan memiliki dadah berbahaya disyaki jenis pil yaba dianggarkan seberat 32.83 gram pada 28 April lalu.

Bagaimanapun, hanya tertuduh lelaki yang mengaku bersalah manakala isteri minta untuk dibicarakan.

Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tarikh 4 Julai ditetapkan sebagai sebutan semula kes. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain