suria

2 suspek pecah kereta Safiq Rahim diburu, polis kesan saksi kejadian

Siasatan mendapati kereta milik Safiq Rahim tidak dipasang dashcam.

POLIS sedang mengesan dua individu yang disyaki terlibat dalam insiden pecah cermin kereta milik pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian khianat yang dibuat oleh pemain berusia 36 tahun itu.

Menurutnya, siasatan mendapati kereta milik mangsa tidak dipasang kamera papan pemuka (dashcam).

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

ARTIKEL BERKAITAN: Safiq Rahim pula diserang! Cermin kereta pecah dihentak dengan tukul besi

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir seluruh tubuh berbalut akibat simbahan asid sulfurik pekat, Faisal mohon doa rakyat Malaysia

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Safiq mendakwa keretanya dihampiri dua individu tidak dikenali yang menaiki motosikal, di Jalan Seri Gelam, Johor Bahru, kira-kira pukul 10.05 malam Selasa selepas selesai mengambil barang di Pusat Latihan JDT.

Menurutnya, pembonceng kemudian mengeluarkan sebatang tukul besi dan memukul cermin belakang kereta jenis Honda City sebelum beredar dari tempat kejadian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus di talian hotline Ibu Pejabat Daerah Johor Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Fahmi Muhammad Rasyid Rabuan di talian 0126648916.

Sebelum ini, dua pemain kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim juga menjadi sasaran apabila diserang individu tidak dikenali.

Akhyar, 25, yang menyertai pasukan Terengganu FC (TFC) disamun dan dipukul sehingga mengalami kecederaan di bahagian kepala dalam kejadian malam Khamis minggu lalu.

Sementara itu, Faisal yang merupakan pemain Selangor FC pula disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara, Selangor pada petang Ahad dan disahkan mengalami lecur tahap empat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain