suria

Tragedi kepala air Lembah Maksina libatkan 17 mangsa

Pasukan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu membawa keluar mangsa yang ditemukan selamat.

ENAM mangsa dikhuatiri lemas, dua cedera manakala sembilan lagi ditemukan selamat selepas terlibat dalam tragedi kepala air di Lembah Maksina, Makuau. Sabah pada Ahad malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.28 malam.

"Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.28 malam melalui sistem 999 melibatkan sekumpulan pendaki yang terperangkap di Sungai Maksina akibat banjir kilat ataupun kepala air.

“Seramai 11 anggota bomba termasuk ketua balai bergegas ke lokasi yang terletak sejauh 56 kilometer dari balai untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kita dimaklumkan terdapat 17 orang peserta yang terlibat dalam aktiviti river trekking di Lembah Maksina,” kata Sumsoa Rashid.

Menurut Sumsoa, tindakan awal bomba berjaya membawa keluar sembilan peserta dalam keadaan selamat pada pukul 12 tengah malam.

Sembilan mangsa yang diselamatkan itu terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita.

Manakala dua yang cedera diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sumsoa turut memaklumkan operasi menyelamat ditangguhkan susulan cuaca yang gelap dan keadaan yang tidak mengizinkan atas faktor-faktor keselamatan.

Operasi akan disambung seawal pukul 6 pagi Isnin.

Maklumat awal bomba mendapati sekumpulan pendaki yang terdiri daripada 17 individu itu melakukan aktiviti river trekking sebelum terjadi banjir dan kepala air yang menyebabkan mereka terperangkap.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain