suria

“Masih trauma kejadian depan mata” - Isteri suspek tembak di KLIA 1 akhirnya ‘bersuara’

Farah Cie mengakui masih trauma dengan kejadian yang menimpanya.

ISTERI suspek akhirnya ‘bersuara’ susulan insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Wanita itu yang lebih dikenali sebagai Ustazah Farah Cie mengakui trauma atas kejadian yang dialaminya.

“Mohon maaf mesej bertalu tidak terbalas. Masih trauma kejadian di depan mata,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada awal pagi Isnin.

Farah Cie turut berkongsi perkembangan mengenai keadaan pengawal peribadinya yang terkena tembakan dalam kejadian itu.

“Sekarang pengawal peribadi Farah masih tidak sedarkan diri. Sama kita doakan kesembuhan Along sihat sedia kala,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mohon doa semua” - Isteri suspek sedih, pengawal peribadi kritikal... Siasatan awal motif kejadian bersifat peribadi

ARTIKEL BERKAITAN: “Semua lari selamatkan diri!” – Kecoh insiden tembakan di KLIA 1, lelaki cuba bunuh isteri

Perkongsian itu dibuat kira-kira 10 jam selepas Farah Cie memaklumkan dia dinasihatkan oleh peguam agar tidak membuat sebarang kenyataan mengenai kejadian tembakan yang berlaku.

Jelasnya, orang ramai diminta merujuk pada kenyataan rasmi pihak polis untuk mengetahui sebarang perkembangan mengenai kes tersebut.

“Suspek sedang dalam buruan, rujuk setiap kenyataan rasmi pihak polis yang sahih.

“Saya menerima nasihat daripada pihak peguam untuk tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan kes ini sementara waktu,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Ahad, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi kepada isterinya.

Pengawai peribadi itu dilaporkan kritikal akibat kecederaan parah yang dialami dan kini menjalani rawatan di Hospital Cyberjaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilapor berkata polis telah melancarkan operasi mengesan lelaki itu selain mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah di kawasan negeri berhampiran serta sempadan negara untuk menjejakinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain