suria

Macam promosi maksiat, normalisasi persundalan… Mufti gesa tindakan tegas kepada penganjur podcast

Hot Daddy (kiri) semasa sesi podcast laman web penstriman baru-baru ini.

UMPAMA mempromosi maksiat dan menormalisasikan aktiviti persundalan.

Demikian reaksi Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berhubung tindakan sebuah laman web penstriman yang menjemput 'Hot Daddy' sebagai tetamu podcast.

Tambahan pula, ia dibuat sejurus Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli yang didakwa atas tuduhan mengiklankan khidmat persundalan menerusi aplikasi X, ‘bebas’ selepas diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tegas Wan Salim, pihaknya bimbang tindakan laman web penstriman tersebut akan mempengaruhi golongan remaja seterusnya membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak.

“Adalah amat dikesali tindakan pihak tidak bertanggungjawab menjemput tertuduh dalam kes mengiklan persundalan menerusi aplikasi X bagi menyertai podcast sebagai tetamu.

“Tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai satu cara mempromosi maksiat dan menormalisasi persundalan.

“Sekiranya keadaan itu tidak dikekang atau dicegah akan mempengaruhi golongan remaja sekali gus membawa kepada jurang keruntuhan akhlak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah Wan Salim, kerajaan harus memandang serius insiden tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mempromosikan kemungkaran ini kerana ia boleh merosakkan nilai akhlak masyarakat.

“Saya juga mohon pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk mendakwa penganjur podcast berkenaan mengikut undang-undang sedia ada.

“Kita harap dengan tindakan undang-undangan itu akan menjadi pengajaran kepada semua pihak dan sebagai satu langkah mencegah perbuatan menormalisasikan maksiat di negara ini,” kata beliau.

Terdahulu, netizen mempersoalkan tindakan sebuah laman web penstriman yang menjemput Hot Daddy untuk datang ke podcast mereka.

Tindakan itu didakwa seolah-olah menyokong dan mempromosikan lagi apa yang dilakukan lelaki tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain