suria

Polis bawa masuk anjing K9, cari bukti baharu di lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan

Unit Anjing Pengesan (K9) dibawa ke lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan. -Gambar AZLINA ABDULLAH/The Star

EMPAT Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibawa masuk untuk meninjau bukti baharu di kawasan penemuan mayat kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihak polis turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

"Kami tidak akan berputus asa dalam siasatan kami untuk mengenal pasti dan menangkap suspek terbabit. Kami kini sedang mengumpul semua maklumat, sama ada penemuan saintifik, maklumat daripada orang ramai serta penemuan dari tempat kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian pada Sabtu.

Beliau berkata pihaknya juga telah bercakap dengan penduduk di kawasan itu mengenai penyerahan rakaman dashcam sejak hari kejadian.

"Kami sedang menunggu mereka tampil. Saya percaya mereka akan bekerjasama dengan kami dalam perkara ini.

"Kami akan memaklumkan kepada anda semua dengan lebih lanjut jika dan apabila kami menerima sebarang rakaman," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rindu sangat... tunggu mommy tau, abang” - Ibu Zayn luah rasa rindu, pemergian anak sulung tiada ganti

Ketika ditanya sama ada mangsa didera secara seksual sebelum kematiannya, Mohamad Fakhrudin berkata beliau tidak akan mengulas mengenai perkara itu.

“Sebarang maklumat lanjut mengenai perkara ini akan diberikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

"Sebarang penemuan daripada mayat mangsa tidak akan didedahkan kepada umum. Kita perlu menjaga kerahsiaan berhubung perkara ini kerana ia boleh menjejaskan siasatan," katanya.

Untuk rekod, Zayn Rayyan mangsa hilang sejak Selasa dan kali terakhir dilihat di alamat Blok R, Apartment Idaman Jalan PJU 10/1 Damansara Damai.

Mayat Zayn Rayyan kemudian ditemui dalam keadaan mengiring di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya pada Rabu malam.

Hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak autistik, itu mati akibat dibunuh. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain