suria

Bapa 3 anak didakwa rogol, buat video pornografi anak saudara

Tertuduh (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru. -Gambar THOMAS YONG/The Star

SEORANG bekas mekanik kapal didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa, atas empat pertuduhan iaitu merogol, merakam perbuatan seksual, amang seksual fizikal dan memiliki pornografi kanak-kanak yang didakwa melibatkan anak saudaranya, kira-kira lima tahun lalu.

Bapa kepada tiga anak yang berusia 41 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim VM Mabel Sheela.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia tujuh tahun di sebuah rumah DI Johor Bahru, kira-kira pukul 1.30 pagi, 1 Ogos 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah membuat pornografi kanak-kanak membabitkan mangsa dengan merakamkan perbuatan itu dalam video di tempat dan masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat sehingga enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama, mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, lelaki itu didakwa memiliki 'pendrive' mengandungi video dan gambar pornografi mangsa di sebuah rumah dekat Iskandar Puteri, pukul 9 malam, 24 Mei lalu.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 10 AKSTK 2017, iaitu berdepan hukuman maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan, tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta lapor diri di balai polis sebulan sekali.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 24 Julai depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin manakala tertuduh diwakili peguam Baharudin Baharim.

Difahamkan, tertuduh akan menghadapi pertuduhan membabitkan masa yang sama, di beberapa negeri lain seperti Pahang, Kuala Lumpur dan Kedah. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain