suria

Tular amalan khurafat di Gunung Jerai, JHEAIK jalankan siasatan

Tangkap layar video memaparkan beberapa individu melakukan amalan tertentu di Gunung Jerai.

SEJAK beberapa hari lalu, tular di media sosial video yang memaparkan ritual amalan khurafat dipercayai dilakukan di atas Gunung Jerai.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEAIK) menjalankan siasatan berikutan penularan video tersebut.

Pengarah JHEAIK, Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai mengenai video tular berdurasi satu minit di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Lafaz 7 kali ‘Aku Melayu’ kemudian pukul gong... Jabatan agama sedang siasat ajaran sesat minta orang ramai tak terpengaruh

"JHEAIK amat memandang berat dan sedang menyiasat aduan tersebut mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 atas kesalahan doktrin palsu dan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Yusri berkata, jika sabit kesalahan, Seksyen 4 memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Tambahnya, Seksyen 7 Enakmen yang sama memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Pada masa yang sama, JHEAIK melalui Bahagian Penyelidikan akan terus mengadakan siri-siri penerangan di seluruh negeri berkaitan bahaya amalan khurafat kepada masyarakat.

"JHEAIK akan terus memberikan penerangan kepada masyarakat dan pada masa yang sama sentiasa memantau aktiviti-aktiviti keagamaan di seluruh negeri Kedah," ujarnya.

Dalam pada itu, pihaknya meminta agar masyarakat sentiasa peka dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang bercanggah dengan agama Islam untuk diambil tindakan.

Terdahulu, video yang tular itu memaparkan beberapa amalan di Gunung Jerai, Kedah yang dilakukan beberapa individu.

Ia sekaligus menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen kerana bimbang amalan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain