suria

Sindiket dadah ibu negara tumpas! Pil, serbuk ekstasi bernilai lebih RM26.5 juta dirampas

Ayob Khan (dua kanan) melihat dadah yang dirampas dalam empat serbuan berasingan di sekitar ibu kota pada Khamis lalu.

SERAMAI empat individu termasuk seorang lelaki tempatan ditahan manakala sejumlah dan serbuk dadah jenis ekstasi yang dianggarkan bernilai RM26.5 juta dirampas dalam beberapa siri serbuan di dua unit kondominium mewah sekitar Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam empat serbuan berasingan bermula jam 4.30 petang hingga jam 11.10 malam itu, seorang lelaki warga tempatan yang juga dalang sindiket bersama tiga wanita warga China berusia 48 hingga 56 tahun ditahan.

Menurutnya, sindiket yang aktif sejak penghujung tahun lalu itu menyewa dua kondominium mewah berkenaan dengan harga RM2,500 setiap unit untuk dijadikan stor serta memproses dadah sebelum dijual ke pasaran tempatan.

"Dalam serbuan itu, polis turut menyita dua kenderaan, wang tunai, jam tangan dan barang kemas," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Ahad.

Ayob Khan berkata, sindiket itu menyasarkan pelanggan di kelab malam dan pasaran tempatan.

"Semakan mendapati tiga wanita tersebut masuk ke negara ini empat hingga lima tahun lepas menggunakan pas lawatan sosial," katanya.

Katanya, kesemua yang ditahan direman tujuh hari sehingga 2 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain