suria

Penunggang motosikal maut, nahas tiga kenderaan

Mohd Zainuddin maut selepas dilanggar sebuah lori dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 7 Jalan Bahau-Juasseh pada Sabtu. - Foto PDRM

SEORANG penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 7 Jalan Bahau-Juasseh di Jempol, Negeri Sembilan, pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu, mangsa yang merupakan operator ladang disahkan maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta sebelum tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar lori.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, semasa kejadian mangsa, Mohd Zainuddin Miskam, 24, merempuh sebuah kereta jenis Honda City dipandu lelaki berusia 55 tahun sebelum dilanggar lori jenis Isuzu yang dipandu lelaki berusia 33 tahun.

"Siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Palong Timur menghala ke Kuala Pilah.

"Setibanya di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah merempuh bahagian belakang kanan kereta Honda City yang ingin masuk ke simpang kiri jalan di laluan yang sama," katanya pada Sabtu.

Jelas Chang Hook, akibat perlanggaran itu, Mohd Zainuddin telah tercampak ke laluan bertentangan.

"Pada masa sama, sebuah lori yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa.

"Mohd Zainuddin yang mengalami kecederaan parah pada kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jempol bagi dibedah siasat," katanya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain