suria

Terima kasih Cikgu! Guru kelahiran Johor selesa di Sabah, 20 tahun berbakti di negeri orang

Guru Besar SK Simpang Rawai, Che Aslan Che Ismail (empat, kanan) bersama guru-guru menerima kek daripada sekumpulan murid lelaki sempena Hari Guru.

SEMANGAT untuk mengajar anak-anak kecil di Sabah dan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan yang baik membawa Sharin Aizrulidana Samsuri, 46, beribu-ribu kilometer dari kampung halamannya di Kota Tinggi, Johor, sejak 20 tahun lalu.

Guru prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Padang ini berkata, dia meluangkan masanya untuk menggarap idea baharu bagi pendidikan awal kanak-kanak dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang efisyen selaras dengan keperluan semasa.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, dia pernah ditawarkan untuk mengajar di negeri asalnya tetapi memutuskan untuk tetap tinggal atas dasar sudah mula mencintai Negeri di Bawah Bayu itu.

Sepanjang 21 tahun pengalamannya dalam bidang pendidikan, Sharin berkhidmat sebagai pensyarah di beberapa institusi pengajian tinggi swasta di Sabah sebelum meneruskan minatnya untuk menjadi guru prasekolah pada 2005.

“Masih banyak yang perlu saya pelajari memandangkan cabaran dalam mendidik anak-anak amat besar, terutamanya apabila ia melibatkan generasi alpha yang memerlukan guru sentiasa menukar kaedah pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Berkongsi pengalamannya sebagai guru prasekolah di Sabah, Sharin berkata perjalanan dalam mendidik ini bermula apabila dia menjalani latihan industri di sekolah luar bandar bagi memenuhi syarat kursus Diploma Pendidikan (Kursus Pengurusan Lepasan Ijazah) Pengajian Prasekolah semasa berada di Maktab Perguruan Keningau.

Keghairahannya terhadap profesion perguruan semakin bertambah selepas merasai kegembiraan melihat anak-anak kecil menguasai empat kemahiran bahasa (membaca, menulis, mengira dan menaakul) sebelum mereka melangkah ke Tahun Satu.

Dalam pada itu Sharin juga berkata dia berdepan cabaran untuk mengajar pelajar prasekolah secara dalam talian berikutan penularan wabak Covid-19.

Namun demi memastikan anak murid terus menimba ilmu, dia mengadakan kelas membaca intensif melalui panggilan video, salah satu daripada beberapa inovasi kaedah pembelajaran yang diciptanya untuk membantu murid prasekolah belajar.

“Selain menyediakan sudut khas di rumah pelajar untuk memudahkan mereka menggunakan bahan inovatif yang saya cipta, saya juga mencipta video pembelajaran yang kemudiannya dimuat naik ke YouTube,” tambahnya.

Graduan Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Putra Malaysia itu berkata dengan pemikiran secara positif dan menganggap cabaran yang dihadapi dalam profesion sebagai satu kewajipan agama dan bukan beban, dia mampu memenangi 48 anugerah sepanjang kerjayanya, termasuk pengiktirafan antarabangsa.

Salah satu anugerah yang diterimanya ialah anugerah Guru Inovatif (kategori prasekolah) sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan tahun ini.

“Ini adalah kali kedua saya menerima anugerah di peringkat kebangsaan.

“Anugerah ini mendorong saya untuk terus berusaha mendidik anak-anak,” tambahnya.

Sekumpulan pendidik raikan hari guru bersama selepas dua tahun berpisah

Guru-guru dan bekas guru Sekolah Kebangsaan Convent Green Lane meraikan Hari Guru dengan mengadakan majlis perjumpaan di salah sebuah rumah rakan sekerja mereka di Bayan Lepas.

Selepas dua tahun tidak dapat menyambut Hari Guru dengan sempurna, sekumpulan guru dan bekas pendidik (Sekolah Kebangsaan) SK Convent Green Lane telah mengadakan majlis perjumpaan di rumah rakan sekerja di Bayan Lepas, Georgetown, Pulau Pinang baru-baru ini.

Deepa Chandramohan, 43, yang berada semasa berkumpul itu berkata, kira-kira 10 orang guru serta bekas pendidik sekolah menghadiri majlis khas itu.

“Ia sesuatu yang kami tidak mampu lakukan sejak dua tahun lalu. Kami berasa sangat gembira dan teruja akhirnya dapat meraikan hari guru seperti ini.

“Pada mulanya, saya dan beberapa guru sekolah memutuskan untuk menyambut Hari Raya di rumah rakan sekerja kami, kebetulan bertepatan dengan Hari Guru.

"Kami tidak merancang apa-apa dan hanya mahu mengadakan pertemuan dengan rakan sekerja," kata Deepa.

Dalam pada itu Mahani Mohamed Eusoff, 48, berkata, dia menawarkan diri untuk menjadi tuan bagi perjumpaan dengan rakan-rakan pendidiknya itu.

“Memandangkan masih hari raya, saya juga ingin meraikan perayaan itu bersama rakan sekerja.

“Ibu membantu saya menyediakan sedikit juadah untuk tetamu kami antaranya nasi minyak, rendang dan ketupat.

“Semua rakan sekerja saya mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ dan ‘Selamat Hari Raya’ setibanya di rumah saya.

"Rasanya hebat dan ini adalah peristiwa yang akan diingati sepanjang hayat kami," katanya.

Sementara itu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Tek B di Lintang Macallum 1, mempunyai cara tersendiri dalam menyambut Hari Guru.

Cikgu Soh Po Tek berkata papan pameran didirikan di perkarangan sekolah itu supaya murid dapat menghiasinya sebagai tanda terima kasih kepada guru mereka.

“Ia adalah salah satu cara kita membiarkan murid-murid menyatakan hasrat dan kasih sayang mereka kepada pendidik pada Hari Guru.

“Idea papan pameran itu datang daripada saya dan rakan-rakan di sekolah itu tahun lalu apabila Hari Guru tidak dapat disambut kerana perintah kawalan pergerakan.

“Daripada mendapatkan papan interaktif yang mahal, kami lebih suka papan yang membolehkan murid menggunakan kreativiti mereka.

"Papan itu bukan sahaja digunakan untuk Hari Guru tetapi juga semasa perayaan lain seperti Tahun Baru Cina dan Hari Raya," tambahnya.

Sistem sekolah yang lebih baik akan memberi manfaat kepada guru - Menteri Pendidikan

Datuk Dr Radzi Md Jidin (tengah) bergambar kenangan bersama penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Tahun 2022 Datuk Dr Adi Badiozaman @ Badio Zaman Tuah (dua, kiri) dan penerima Anugerah Tokoh Guru kepada Roslan Yatim (dua, kanan) sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51 di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok.

Kementerian Pendidikan memberikan komitmen untuk menambah baik beberapa struktur dalam sistemnya, kata Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

“Kita akan pastikan ketidakcekapan dalam struktur sistem persekolahan ditangani agar guru dapat meluangkan masa mendidik secara optimum.

“Kita juga akan menyusun semula proses pertukaran guru yang mana permohonan boleh dibuat sepanjang tahun melibatkan empat pertukaran setahun berdasarkan kesesuaian tempat yang dipohon dan pilihan mata pelajaran di negeri terbabit.

“Selain itu, kita juga akan memastikan guru-guru boleh mengajar mata pelajaran lain selain mata pelajaran teras supaya memberi kelebihan kepada mereka apabila minta pertukaran,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran Hari Guru ke-51 peringkat kebangsaan Sambutan 2022 di Universiti Malaysia Kelantan, Bachok, Kelantan pada 16 Mei lalu.

Radzi berkata pembangunan dan kesejahteraan guru juga akan diberi perhatian bagi memastikan operasi sekolah dan guru lebih cekap.

“Kami turun padang bagi mendengar pandangan dan rungutan warga pendidik semasa sesi penglibatan pengurusan yang diadakan sebelum ini,” tambahnya.

Dalam acara tersebut, Datuk Dr Adi Badiozaman @ Badio Zaman Tuah telah dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022 sementara itu Roslan Yatim merupakan penerima bagi Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2022.

Guru adalah pembimbing kita - Ismail Sabri

Guru ibarat lilin yang menerangi kehidupan manusia sepanjang hayat walaupun berdepan cabaran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berharap guru-guru akan terus berkhidmat dengan dedikasi dan menjunjung amanah rakyat dalam mendidik anak-anak "Keluarga Malaysia".

Sempena Hari Guru, beliau berkata 16 Mei merupakan hari yang bermakna bagi warga pendidik atas jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa.

“Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik yang tidak jemu menjadi pelita kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata sambutan Hari Guru tahun ini yang bertemakan 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera', bertepatan dengan komitmen mereka untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam melahirkan generasi masa depan negara.

Pelancaran Sambutan Hari Guru ke-51 Peringkat Kebangsaan 2022 telah diadakan di Universiti Malaysia Kelantan.

JOHOR BAHRU, 16 Mei -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) melawat kelas ketika hadir pada Sambutan Sambutan Hari Guru dan Hari Raya Aidilfitri 2022 di Maktab Sultan Abu Bakar Johor Bahru hari ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) melawat kelas ketika hadir pada Sambutan Sambutan Hari Guru dan Hari Raya Aidilfitri 2022 di Maktab Sultan Abu Bakar Johor Bahru.

RM8.88 juta untuk naik taraf bilik guru

Sebanyak RM8.88 juta diperuntukkan kerajaan negeri untuk menaik taraf 1,775 bilik guru di sekolah seluruh negeri sebagai tanda penghargaan kepada guru, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dia berkata langkah itu bagi memastikan kira-kira 53,000 guru mendapat tempat yang selesa selepas selesai menjalankan tugas.

“Sebagai menghargai pengorbanan guru-guru di Johor, saya berbesar hati mengumumkan bantuan khas untuk bilik guru di seluruh negeri dan saya berharap mereka akan menggunakan peruntukan ini sebaik mungkin.

“Sekolah akan menerima RM5,000 untuk memberi keselesaan kepada semua guru,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Hari Guru dan Aidfilfitri di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

"Guru boleh menggunakan wang ini untuk membaiki penghawa dingin, mendapatkan ketuhar gelombang mikro atau peti ais," katanya sambil mengumumkan RM200,000 lagi untuk pembaikan di dewan sekolah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain