suria

Uthaya Sankar ditahan hina Nabi Muhammad di Facebook

Perintah reman akan diperoleh ke atas Uthaya pada Selasa. Gambar hiasan

PENULIS, Uthaya Sankar SB telah ditahan selepas didakwa memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad di Facebook.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hasan berkata, polis membuka siasatan susulan hantaran yang dimuat naik oleh Uthaya pada 7 April lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 395 laporan polis, lelaki hina Nabi Muhammad SAW direman tiga hari

"Siasatan dijalankan oleh unit siasatan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kata-kata dengan niat sengaja untuk melukakan perasaan beragama mana-mana individu," katanya dalam satu kenyataan.

Abd Jalil menambah, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian.

"Suspek berusia 50 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Sri Muda, Shah Alam pada Isnin (11 April) kira-kira pukul 11.15 pagi bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Tambahnya, pihaknya juga merampas sebuah telefon bimbit beserta kad SIM daripada suspek yang dipercayai digunakan ketika memuat naik hantaran tersebut.

"Perintah reman akan diperoleh ke atas suspek pada Selasa (12 April). Siasatan sedang dijalankan dan kami menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan," katanya.

Abd Jalil dalam masa yang sama menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terutama dengan isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain