suria

Padah rempuh kereta peronda! Polis lepas satu das tembakan, pasangan kekasih ditahan untuk siasatan

Kerosakan pada pintu sebelah kiri kenderaan MPV selepas dirempuh kenderaan dipandu suspek.

ENGGAN beri kerjasama dan cuba merempuh anggota bertugas menyebabkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Gertak Chaber, Tanah Merah di Kelantan, pada Ahad.

Difahamkan, tembakan amaran dilepaskan selepas pasangan kekasih berusia 20 dan 22 itu enggan memberhentikan kereta yang dinaiki mereka walaupun telah diarahkan berbuat demikian menggunakan alat pembesar suara.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, semasa melakukan rondaan pada jam 11 malam anggota Unit Kereta Peronda (MPV) telah melihat sebuah Perodua Myvi berada dalam keadaan mencurigakan di lorong belakang bangunan ECO berhampiran Jalan Humaira.

"Semasa mahu melakukan pemeriksaan, pemandu kereta berusia 20 tahun telah bertindak cuba merempuh anggota bertugas sehingga menyebabkan kerosakan pada pintu sebelah kiri kenderaan MPV.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan memecut laju Myvi yang dipandu sehingga melanggar beberapa kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di Jalan Hiburan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurutnya, anggota polis telah bertindak menggunakan pembesar suara supaya suspek memberhentikan kenderaannya namun dia bertindak memecut laju.

Beliau berkata, kereta Myvi itu bagaimanapun hilang kawalan sebaik sahaja tiba di Petronas Gertak Chaber.

Wan Zulfikri berkata, anggota bertugas telah melepaskan satu das tembakan amaran ke udara dan berjaya menahan kedua-dua suspek. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain